NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hilang 9 ahli keluarga, Abd Razak redha dengan ujian



SHAH ALAM: "Walaupun perit untuk menerima kenyataan ini, saya reda dengan ujian Allah dan berdoa agar roh isteri serta anak-anak ditempatkan dalam kalangan orang beriman".

Demikian kepiluan dirasai Abd Razak Majit, 50, yang kehilangan sembilan ahli keluarganya sekelip mata selepas terkorban dalam nahas membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Turut terkorban ialah mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, manakala Abd Razak cedera pada kaki kanan.

Berkongsi kisah pilu itu, Abd Razak berkata, kejadian berlaku ketika dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.

"Secara tiba-tiba, kereta Proton Wira dinaiki kami mengalami kerosakan bateri dan terpaksa berhenti di tepi jalan.

"Ketika memeriksa kereta, sekelip mata saya sedar sudah terbaring atas jalan. Kenderaan kami pula berada di bawah treler," katanya dalam nada sebak.

Dia ditemui selepas acara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dekat sini.

Sebelum itu, jenazah sembilan beranak berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad mengikut turutan, kira-kira jam 1.30 petang.

Dalam pada itu, Abd Razak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersyukur proses pengkebumian berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Terdahulu, jenazah sembilan sekeluarga itu dimandikan dan disembahyangkan di Unit Forensik, Hospital Shah Alam pada jam 9 pagi, sebelum dibawa menggunakan lapan van jenazah yang diiringi sepasukan polis trafik.

Suasana pilu ketara kelihatan dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara mangsa. -BH





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo