NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga baja naik 30 peratus, racun 100 peratus


KUALA LUMPUR: Kenaikan kos input pertanian menyebabkan harga racun serangga yang dahulu dijual pada harga RM66 meningkat kepada RM197.50, iaitu kenaikan sebanyak 199 peratus.

Harga racun kulat pula meningkat sebanyak 20.7 peratus, manakala racun siput meningkat hampir 20 peratus. Pada masa sama, harga baja sebatian meningkat seperti Yara Blue naik sebanyak 19.4 peratus, Agro Bridge sebanyak 19.1 peratus dan NPK Blue sebanyak 14.5 peratus.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kementeriannya prihatin terhadap isu kenaikan kos input pertanian, terutama baja dan racun yang berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Katanya, kenaikan harga baja hampir 30 peratus dan harga racun meningkat hampir 100 peratus, ditentukan oleh kuasa pasaran.

“Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah seperti unsur nitrogen, fosfat dan kalium, diimport dari negara luar seperti China, Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

“Antara faktor yang dikenal pasti mempengaruhi kenaikan harga ini adalah akibat perubahan dasar negara pengeksport yang mengurangkan bekalan, kenaikan kos bahan mentah yang melibatkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing,” katanya.

Beliau berkata demikian keitka menjawab soalan Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ronald berkata, kenaikan harga membebankan petani dan pengusaha sehingga mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.

Katanya, kumpulan petani yang terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun adalah seramai 276,621 orang, merangkumi tanaman buah, sayur, tanaman ladang dan kontan, kelapa, bunga, herba dan rempah ratus dengan keluasan tanaman 405,509 hektar.

Menurutnya, seramai 356,000 orang pesawah padi sawah dengan keluasan tanaman 608,000 hektar juga terkesan.

“Secara umum, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus, masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan. Pesawah padi pula mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus.

Sementara itu, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini telah mengumumkan beberapa tindakan intervensi bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas.

Katanya, antara tindakan itu ialah dana RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus dengan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan yang disediakan oleh TEKUN dan Agrobank.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi subsidi dan insentif padi dalam Bajet 2022 dengan bantuan subsidi racun makhluk perosak untuk pesawah dinaikkan dari RM200 kepada RM300 sehektar semusim.

“Kementerian juga mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk kerajaan menawarkan insentif tambahan kepada petani yang terjejas. Cadangan masih di peringkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 2/12/21


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo