NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hampir 80% kematian Covid-19 di Terengganu babit individu tak vaksin





KUALA TERENGGANU: Seramai 595 individu atau 77.5% daripada keseluruhan 768 kes kematian akibat Covid-19 di Terengganu adalah individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Kasemani Embong berkata, daripada 768 kematian yang direkodkan itu, 425 kes atau 55% adalah lelaki manakala 343 kes atau 45% wanita, dengan 658 orang atau 85.7% daripada jumlah kematian itu mempunyai faktor komorbid.

“Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun, iaitu sebanyak 25.3%, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6%) dan 50 hingga 59 tahun (17.2%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara faktor peningkatan kematian itu adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun.

Sejak kebenaran rentas negeri bermula 11 Okt lepas dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jabatan Kesihatan Negeri telah menjangkakan berlaku peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan masuk ahli keluarga yang pulang ke kampung dan aktiviti pelancongan.

Kasemani berkata, bermula hujung Okt sehingga 30 Nov lepas, Terengganu mencatat peningkatan kemasukan kes Covid-19 ke hospital sebanyak 24.9% berbanding tempoh sama sebelum itu (Sept hingga Okt), dengan penggunaan katil Covid-19 di hospital mencecah 59.7%.

“Sebanyak 84.4% kemasukan ke hospital adalah pesakit bagi Kategori 3, 4 dan 5 dan ini menyumbang kepada penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terkini sebanyak 72.5%. Selain itu, sejak hujung Okt juga, 39.5% kes yang dimasukkan ke ICU adalah individu yang tidak divaksin,” katanya.

Sehingga kini, 69.2% daripada jumlah populasi di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, 92.6% dalam kalangan populasi dewasa di negeri ini menerima dos primer.

Kasemani berkata, bagi suntikan dos penggalak pula, sehingga kini seramai 31,397 individu sahaja telah disuntik dan pencapaian dos penggalak itu amat rendah hanya 3.4% jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo