NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Facebook patahkan kempen antivaksin


SAN FRANCISCO: Syarikat induk Facebook semalam menggagalkan kempen antivaksin COVID-19 yang mengganggu pekerja perubatan, wartawan dan beberapa pegawai yang dipilih sebagai isyarat tekanan berterusan terhadap maklumat tidak sahih berkaitan pandemik itu.

Gergasi media sosial itu menurunkan akaun di Perancis dan Itali yang dikaitkan dengan gerakan konspirasi dikenali sebagai 'V_V', yang membanjiri hantaran provaksin dengan dianggarkan mencecah puluhan ribu komen.

Meta berkata, penyokong V_V juga mengganggu orang ramai di YouTube, Twitter, VKontakte dan platform dalam talian yang lain, menggunakan lambang swastika serta menggelar doktor dan petugas media sebagai 'penyokong Nazi' kerana menyokong program vaksin.

Kemas kini syarikat berkenaan berhubung usaha menentang maklumat tidak sahih dan gangguan pada platformnya dibuat ketika gergasi teknologi itu bergelut dengan tuduhan bahawa ia mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan pengguna.

Firma itu menukar nama syarikat induknya kepada Meta pada Oktober kerana cuba beralih daripada rangkaian sosial yang dilanda skandal kepada visi realiti mayanya untuk masa depan.

Laporan oleh firma analisis rangkaian sosial, Graphika menawarkan maklumat tambahan mengenai V_V dan mendedahkan ia terbabit dalam perang psikologi gerila yang menyasarkan penyokong vaksin.

Graphika menganggarkan V_V mempunyai kira-kira 20,000 pengikut dan berkata, kumpulan itu dikaitkan dengan kegiatan vandalisme hospital dan usaha untuk mengganggu program vaksinasi dengan berulang kali menempah dan membatalkan janji temu perubatan.

Menurut ketua siasatan kemudaratan baharu Meta, Mike Dvilyanski, kempen kumpulan itu menggunakan perkhidmatan pesanan Telegram untuk merekrut dan menyebarkan berita palsu kepada kumpulan sasarannya.

"Walaupun kami tidak melarang semua kandungan V_V, kami terus memantau keadaan dan akan mengambil tindakan jika mendapati pelanggaran berterusan," menurut Meta. - AFP




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo