NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantu bersih rumah mangsa banjir, Kudrat 'Otai' masih berbisa




KUANTAN: 'Maaf, ini kudrat orang pencen'.

Itu antara ungkapan kerap keluar daripada mulut ahli Team Amal Jembara Al-Falah (Jembara), setiap kali mereka selesai membantu mencuci rumah mangsa banjir di Kuantan sejak air surut beberapa hari lalu.

Pengerusinya, Abdul Rahim Othman, 61, berkata mereka yang terdiri daripada pesara kerajaan dan swasta berusia lingkungan 55 hingga 70 tahun, cuba membantu setakat termampu dan berharap usaha kecil itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Kudrat kami mungkin tidak sekuat orang muda tetapi semangat membantu tetap kuat. Sebab itu kami cari rumah yang memerlukan bantuan mencuci yang terdiri daripada saudara-mara ahli, orang susah, ibu tunggal atau mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga ramai.

"Senarai rumah yang perlu dibantu diketahui dengan bertanya kepada orang ramai, selain ada yang menghantar mesej di akaun Facebook ahli apabila melihat gambar-gambar kami 'beraksi'," katanya.

Sambil berseloroh Abdul Rahim menambah, membersihkan rumah selepas banjir adalah cara mereka 'bersenam' memandangkan semua 50 ahli Jembara tidak betah duduk diam disebabkan sudah biasa melakukan aktiviti outdoor seperti mendaki, memancing dan berkhemah.

Kelab Jembara juga, menurut Abdul Rahim, lebih selesa 'bergerak' sendiri tanpa menerima sumbangan orang ramai bagi mengelak timbul perkara berbangkit di kemudian hari, menyebabkan mereka menggunakan wang kelab yang turut meliputi keuntungan gerai makanan yang diusahakan bersama di Sungai Isap di sini.

Setakat ini, hanya seorang individu berjaya memujuk Kelab Jembara untuk menerima sumbangan dan wang itu digunakan untuk membeli penyembur air bagi meringankan tugasan mencuci, terutamanya di rumah yang dinaiki lumpur tebal.

"Kami biasanya memulakan kerja pada jam 9 pagi kerana semuanya perlu selesai sebelum 12 tengah hari. Bukan apa, ada bilal masjid dalam kalangan ahli menyebabkan kami perlu mengejar waktu sebelum azan Zuhur," katanya.

Abdul Rahim berkata, inisiatif membantu kerja pembersihan itu bermula awal tahun ini, apabila mereka tersentuh melihat gambar kesan banjir teruk di daerah Maran dan Pekan, menyebabkan mereka mengeluarkan wang sendiri untuk membeli kelengkapan membersih sebelum bergerak ke daerah terbabit.

Bagaimanapun, semasa itu tumpuan diberikan kepada masjid dan surau kerana orang tempatan perlu mengutamakan rumah sendiri selepas banjir surut, sedangkan kerja pembersihan lebih mudah dilakukan jika lumpur belum kering sepenuhnya.

"Tanpa disangka, banjir tahun ini berlaku dua kali. Memandangkan kami sudah mempunyai aset untuk membersih, lebih baik kami teruskan usaha membantu orang dalam kesusahan. Walaupun penat, ucapan terima kasih daripada tuan rumah selepas itu membuatkan kami puas hati dengan apa yang dilakukan," katanya. - BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo