NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sarawak: DAP, PSB sukar bekerjasama


KUCHING: Hasrat DAP Sarawak menjalin kerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) dilihat sukar menjadi kenyataan.

Ini kerana Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, seolah-olah mahu terus berseteru dengan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PSB khususnya di kerusi Bawang Assan dan Dudong.

Terbaru, Soon Koh menyifatkan kenyataan Chieng Jen bahawa pembangkang yang kuat diperlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sebagai sesuatu yang amat melucukan.

Beliau berkata, PSB berpegang teguh kepada prinsip dan perjuangan untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi menggantikan GPS, bukan sekadar menjadi pembangkang yang kuat seperti disasarkan DAP.

"Prinsip dan pendirian PSB sangat jelas. Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana ahli politik atau parti politik dari Semenanjung.

"Tetapi Chieng Jen masih bercakap mengenai matlamat menjadi pembangkang yang kuat. Dia boleh terus menjadi pembangkang kerana itu yang dia mahu, tetapi PSB lebih berminat membentuk kerajaan yang kuat," katanya dalam kenyataan, petang semalam.


Soon Koh berkata, DAP sudah menjadi pembangkang lebih 40 tahun dan mungkin Chieng Jen berpuas hati dengan pencapaian mereka dan mahu terus menjadi pembangkang.

Jumaat lalu, Chieng Jen berkata, DAP Sarawak masih berusaha untuk bekerjasama dengan PSB di Bawang Assan dan Dudong.

Dua kerusi itu disandang PSB menerusi Soon Koh di Bawang Assan, manakala Dudong pula diwakili Datuk Tiong Thai King.

Sebelum ini, Soon Koh menempelak Ching Jen selepas Ahli Parlimen Stampin itu menyatakan DAP menolak untuk bekerjasama dengan ahli politik `katak'.

Soon Koh yang pernah menyertai satu daripada komponen GPS iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkecil hati dengan kenyataan itu dan meminta Chieng Jen meneliti semula sejarah apabila bapanya sendiri, Chong Siew Chiang, melompat dari SUPP sebelum membawa DAP ke Sarawak pada 1978.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo