NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usul jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal dapat sokongan sebulat suara



KOTA KINABALU: Bahagian-bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah yang bersidang kelmarin sebulat suara menyokong usul agar jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan kepada tidak melebihi dua penggal berturut-turut.

Dalam satu kenyataan oleh BERSATU Sabah, pembaharuan sistem politik ini iaitu mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Ketua Menteri kepada tidak melebihi dua penggal bagi membolehkan Ketua Menteri dan seluruh anggota kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri serta aspirasi rakyat.

Ia juga bagi membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mendukung pembaharuan, menerapkan amal tadbir urus yang baik dan telus serta meningkatkan keberkesanan proses semak dan imbang.

Ini selari dengan pengukuhan perpaduan dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia merupakan satu daripada kesemuanya enam usul yang dicadangkan dalam persidangan tahunan parti di Sabah.

Usul yang lain adalah untuk mendukung kepimpinan Presiden Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam mengemudi parti BERSATU di peringkat Persekutuan dan Sabah.

Mendukung kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta aspirasi dan objektif yang telah digariskan dalam konsep Sabah Maju Jaya yang merangkumi, Membina negeri, masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur serta sejahtera.

Mengoptimumkan sumber, hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan.

Juga, usul menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang telah digerakkan oleh kepimpinan parti komponen GRS untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komponen GRS yang terbina sejak MOU GRS dimeterai pada 9 Januari 2021.

Usul lain termasuk mengesyorkan agar kerajaan Pusat menyempurnakan segera segala kepentingan dan hak negeri sepertimana yang termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63).

Ia adalah selari dengan Aku Janji Perikatan Nasional (PN) semasa PRN16 yang lalu iaitu memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963;

Usul lain ialah berharap, agar kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi pertimbangan yang khusus kepada Sabah terutama dalam aspek yang berhubungkait dengan prasarana pembangunan, pendidikan serta juga perumahan rakyat.

Bahagian-Bahagian BERSATU yang bersidang ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo