NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS bersedia bermain 100 kolam demi penyatuan ummah - Sanusi


PAS bersedia bermain dalam 100 ‘kolam’ sekalipun demi penyatuan ummah, bukannya kerana rakus untuk berkuasa, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor.

Itu ketegasannya berhubung pendirian parti, sama ada akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, ketetapan itu bukan disebabkan PAS rakus berkuasa, sebaliknya mahu melihat Umno, Bersatu dan PAS kembali bergabung.

“Main 100 ‘kolam’ pun tak apa sekiranya atas nama penyatuan, perpaduan dan kesatuan politik Islam Melayu.

“Sekiranya ada 100 ‘kolam’ pun, kita akan berenang, jangan kata dua atau tiga, lebih pun kami bersedia,” katanya dipetik Sinar Harian, pada sidang media selepas perasmian penutup MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah (MaiReka) di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, PAS sedang berusaha melakukan kerja-kerja perdamaian bagi menyatukan semula semua parti dalam PN dengan semangat setiakawan yang tinggi.

“Semangat setiakawan dalam MN mahupun PN akan dihargai. Allah SWT perintahkan apabila berlaku perbalahan untuk kita damaikan pihak yang berbalah. Mana boleh pendamai dikatakan rakus kuasa.

“Rundingan masih dijalankan sehingga kini untuk elak pertembungan tiga penjuru,” katanya.

Menurutnya, penyatuan akan menguntungkan semua pihak, manakala perpecahan hanya merugikan dan melemahkan.

Selain itu, katanya biarpun PAS dilihat seolah dilema untuk memilih antara PN dan MN, namun realitinya PAS bersedia menjalin kerjasama dengan pihak mahukan kepada penyatuan.

“Dalam dilema itu bukan PAS, tetapi orang lain. PAS tiada masalah apa-apa, sesiapa yang mahu kepada penyatuan dipersilakan. PAS bersedia bekerjasama dengan kedua-duanya sekaligus,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melabel PAS sebagai rakus kuasa apabila menjalin kerjasama dengan MN dan PN serentak, kerana parti itu hanya mahu menyatukan politik Islam Melayu.

“Ini bukan kerakusan kuasa tetapi kewajipan PAS untuk menyatukan umat Islam. Mana boleh kata itu kerakusan kuasa, adalah dosa menuduh PAS rakus.

“Penyatuan itu suatu kewajipan, penyatuan ummah wajib manakala perpecahan haram dan harus dielakkan. Apabila ia suatu kewajipan dalam agama, kita perlu tunaikan. Bukan sekadar suka-suka atau atas kepentingan sesiapa, saya harap perkara ini dilaksana semua pihak,” katanya.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo