NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

6.1 juta ahli KWSP miliki baki kurang RM10,000, majoriti bumiputera

Berikutan penyediaan beberapa kemudahan pengeluaran yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memberi fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, kemudahan pengeluaran tersebut bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberikan impak besar terhadap ekonomi negara.

Menurutnya, pengeluaran yang dimaksudkan iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.

“Walaupun pengeluaran telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.

“Daripada jumlah ini, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, kejatuhan dalam jumlah simpanan tersebut ternyata lebih merisaukan ahli daripada golongan bumiputera memandangkan seramai 78 peratus atau lebih tiga perempat telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.

Katanya, ia mengakibatkan seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan dua juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Tambahan lagi pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP (lebih kurang lima juta ahli) menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

“Kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median sebanyak RM24,995.

“Hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043 atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, KWSP sehubungan itu menganggarkan ahli perlu bekerja empat hingga enam tahun lagi bagi membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik yang juga mengakibatkan kejatuhan ketara.

Katanya, berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

“KWSP berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat.

“Pelan Pemulihan Nasional yang disokong oleh kejayaan besar program vaksin telah menyaksikan usaha memperbaiki situasi pandemik dilakukan secara beransur-ansur tetapi konsisten, seterusnya membuka jalan kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

- SHarian

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo