NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mampukah PRN selesai kemelut politik Melaka?




MAMPUKAH Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Melaka pada 20 November ini menyelesaikan kemelut politik negeri Hang Tuah itu dengan sebuah parti tunggal muncul pemenang untuk menubuhkan kerajaan negeri?

Atau adakah akan wujud situasi di mana tidak ada parti memperoleh majoriti mutlak sehingga kemelut berulang? Jika ini berlaku kemungkinan lompat melompat kembali menjelma, insiden yang membawa kejatuhan kerajaan Melaka dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14.

Semua menunggu penuh debar keputusan rakyat ketika Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing optimis akan menang.

Sabtu 20 November, rakyat Melaka yang berdaftar sebagai pengundi akan keluar beramai-ramai membuat penentuan siapa yang akan mereka pilih untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dibubarkan pada 4 Oktober 2021.

Kerajaan Melaka tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan kepada kerajaan. Ekoran itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Senario PRN Melaka kali ini begitu menarik. Pertama, kerajaan negeri tumbang apabila anggota parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri daripada Barisan Nasional (UMNO) dan Bersatu menarik balik sokongan kepada kerajaan. Turut menarik sokongan seorang ADUN Bebas.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-UMNO), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-UMNO), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas).

Kedua, walau pun selepas empat ADUN ini menarik balik sokongan dan menukar sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadikan PH mempunyai kerusi majoriti, mantan ketua menteri yang telah hilang sokongan, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menasihati Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN dan ini dipersetujui oleh beliau.

Tindakan ini menimbulkan bantahan PH kerana beranggapan Sulaiman sudah hilang kelayakan menasihati Yang di-Pertua Negeri kerana beliau bukan lagi ketua menteri memandangkan majoriti ADUN telah hilang kepercayaan kepadanya.
Walau pun Pakatan Harapan Melaka memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan pembubaran tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mahkamah menolak dengan alasan kuasa pembubaran oleh Yang di-Pertua Negeri tidak boleh dicabar di mahkamah.

Ketiga, PRN ini akan menyaksikan parti-parti yang membentuk kerajaan pusat dalam Perikatan Nasional akan bertarung sesama sendiri setelah UMNO memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Pas.

UMNO dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) akan bertanding di bawah panji-panji sendiri sementara Bersatu bekerjasama dengan Pas dengan panji-panji Perikatan Nasional.

Berkecai sudah hubungan UMNO dengan Bersatu dan Pas. Namun UMNO yakin mampu mengharungi PRN secara bersendirian dan seterusnya memenangi pilihan raya bagi membentuk kerajaan negeri pasca PRN ke-15 itu.

ADUN yang menarik balik sokongan juga tetap bertanding, kecuali Datuk Noor Effandi Ahmad. Namun mereka akan bernaung di bawah payung berlainan setelah dipecat daripada parti asal. Idris Haron yang bertanding di bawah lambang PH, mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan beralih kawasan ke Asahan yang menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Saingan utama beliau ialah Fairul Nizam Roslan (BN-UMNO) dan B. Danesh (PN-Gerakan). Tiga calon lain, Mohd Noor Salleh, Azmar Ab Hamid dan Mohd Akhir Ayob kesemuanya calon bebas dan dijangka tidak memberi cabaran serius.

Noor Azman Hassan akan mewakili PH di bawah parti Amanah mempertahankan kerusi Pantai Kundor dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN (UMNO), Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Mohamad Ridzwan Mustafa (PN—Bersatu).

Noorhisham Hassan Baktee pula mempertahankan kerusi Pengkalan Batu sebagai calon Bebas dalam pertandingan lima penjuru. Calon lain ialah Muhamad Danish Zainudin (PH-DAP), Mohd Azrudin Md Idris (PN-Bersatu) dan Datuk Kalsom Nordin (BN-UMNO). Juga bertanding calon parti Putra, Dr. Mohd Aluwi Sari.

Suasana menjelang PRN nampak tenang. Malah sejak penamaan calon pada 8 November hingga menjelang pembuangan undi keadaan terkawal. Ini berkat larangan mengadakan kempen bersemuka atau pintu ke pintu dalam suasana Covid-19 masih berlegar.

Ini tindakan wajar dengan mengambil iktibar PRN Sabah pada 20 September 2020 ketika Covid-19 mengganas di negeri itu. Kehadiran ahli politik keluar masuk dari Semenanjung ke negeri Bawah Bayu itu serta kehadiran ramai pada majlis ceramah dan kempen, menyaksikan angka Covid-19 naik mendadak.

Dianggarkan daripada tarikh pembuangan undi sehingga penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 Oktober 2020 untuk mengekang penularan Covid-19, angka jangkitan melonjak sehingga 70 peratus.

Tindakan tidak membenarkan kempen bersemuka di Melaka dibuat demi keselamatan orang ramai. Malah suasana tenang ini juga memberikan ketenangan kepada pengundi memilih calon sesuai, tanpa terlalu bercelaru dengan pelbagai kempen yang boleh mengganggu konsentrasi mereka membuat pemilihan.

Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah membayangkan Pilihan Raya Umum (PRU-15) mungkin diadakan pada Julai tahun hadapan walau pun Parlimen hanya tamat tempuh pada Mei 2023. Jika ini menjadi kenyataan, kemungkinan DUN Melaka tidak dibubarkan serentak kerana tempuh mulanya masih baharu.

Debaran kini ialah menunggu tanggal 20 November yang akan menjadi penentu nasib parti-parti politik yang bertanding dan ke arah mana hala tuju negeri Melaka akan dibawa. Rakyat Melaka akan menjadi hakim. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. – BebasNews



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo