Responsive Ad Slot

Keputusan PRN Melaka : Pengajaran kepada parti Melayu




PENAMAAN calon diadakan pada 8 November 2021. Bukan sahaja bilangan calon bertambah daripada 85 dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada 112 (penambahan sebanyak 31 peratus) tetapi di tiga kawasan majoriti pengundi Melayu berlaku pertandingan enam penjuru berbanding tiga penjuru dalam PRU-14. Dengan pengundi Melayu berpecah enam, sedikit sahaja pengundi bukan Melayu yang bersepadu di belakang DAP, calon Perikatan Harapan (PH) akan menang.

Di kesemua 28 kawasan berlaku pertandingan tiga penjuru di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PH. Ini sahaja akan memberi kelebihan kepada PH. Apatah lagi, di banyak kawasan pula terdapat calon-calon bebas Melayu yang akan menambahkan lagi kelebihan kepada PH.

Maka, atas kertas, nampaknya PH mempunyai kelebihan. Ertinya, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas masih tidak belajar daripada kesilapan mereka dalam PRU-14. Anehnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysi (Bersatu) yang pada masa itu berada dalam PH dan mendapat faedah daripadanya juga menurut UMNO dan PAS mengulangi kesilapan itu yang kali ini mungkin akan membawa kekalahannya sendiri. Itu anggapan atas kertas pada masa itu.

Daripada penamaan calon itu juga dapat dilihat sikap parti-parti dan pemimpin-pemimpin Melayu dalam tiga buah parti itu. UMNO masih percaya bahawa ia adalah parti Melayu terbesar dan masih percaya ia boleh menebus kembali kekalahannya dalam PRU-14. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hendak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO/BN dan, dengan itu, membuktikan UMNO masih memerlukannya sebagai presiden.

Pas yang mulanya menunjukkan kecenderungan bekerjasama dengan UMNO, meninggalkan parti itu kerana Pas tahu ia lebih besar daripada Bersatu dan parti terbesar dalam PN. Sebaliknya jika bekerjasama dengan UMNO, mereka perlu menerima hakikat bahawa UMNO adalah lebih besar daripadanya. Selain dari itu, Pas tahu bahawa UMNO adalah musuh utamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Maka, untuk mengalahkan UMNO di negeri-negeri itu, lebih baik menyertai PN. Maka, Muafakat Nasional (MN) dan perpaduan ummah pun diketepikan demi kepentingan politik parti dan diri.

Bersatu tidak ada pilihan. Tujuan awalnya untuk membunuh dan mengganti UMNO, setakat ini nampaknya tidak kecapaian. Maka, ia kenalah menumpang PAS atau UMNO atau kedua-duanya. Menumpang Pas adalah lebih baik kerana parti itu tidak sebesar UMNO dan pemimpin-pemimpinnya telah mula merasakan keenakan menjawat jawatan dalam kerajaan dan perttubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merasa terhutang budi kepada Bersatu kerananya – pembahagian kawasan pilihan raya antara Bersatu dan Pas juga lebih mudah. Bersatu boleh memberi Kelantan, Terengganu, sebilangan besar kawasan-kawasan di Kedah dan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai sokongan akar umbi dan tidak akan menang kepada Pas serta yang lainnya ditandingi olehnya.

Pengundian diadakan pada 20 November 2021. Keputusan diketahui awal malam itu juga. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dengan UMNO mendapat 18 kerusi, MCA dua dan MIC satu. PN-Bersatu hanya memenangi dua kerusi, manakala Pas tidak memenangi sebarang kerusi. PH-DAP memenangi empat kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu manakala PH-PKR tidak memenangi sebarang kerusi. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

Daripada fakta ringkas ini sahaja pun sudah dapat dilihat bahawa bukan sahaja BN yang mendapat kemenangan dua pertiga daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan, UMNO sendiri pun melepasi garisan itu. Ertinya, UMNO sendiri pun sudah boleh meminda Perlembagaan, jika perlu. Ini menunjukkan bahawa tsunami patah balik orang Melayu telah sebenarnya berlaku.

Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, termasuk Ahmad Zahid (dan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang saya percaya, turut memain peranan di sebalik tabir (itulah cara yang sebaik-baiknya pada masa ini)) patut dipuji kerana membut keputusan berani dan tepat. Ia menunjukkan bahawa maklumat yang diterima dari akar umbi adalah betul.

Keputusan itu tentu sekali boleh menjadi alasan untuk UMNO/BN merangka strateginya dalam menghadapi PRU-15.

MCA, dengan sokongan padu pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina yang turut berpatah balik juga telah berjaya memperbaiki prestasinya. Ini satu pengajaran kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MCA, janganlah terlalu cepat memburuk-burukkan UMNO dan mengugut hendak keluar daripada BN, seperti yang telah dilakukan mereka selepas kalah dalam PRU-14 dahulu. Janganlah menunjukkan sikap bahawa mereka hanya mahu menjadi rakan semasa menguntungkan dan lari semasa rugi. Sekarang pun mereka mesti ingat bahawa tanpa sokongan padu pengundi-pengundi Melayu, mereka tidak akan menang satu kerusi pun.

MIC patut berterima kasih kepada UMNO kerana sanggup memberi satu kawasan majoriti pengundi-pengundi Melayu untuk ditandinginya dan kepada pengundi-pengundi Melayu yang memberi kemenangan kepadanya. Orang-orang India perlu sedar bahawa semenjak tahun 1955, apabila PRU mula diadakan, atas ihsan UMNO, MIC diberi bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu dan menang kerana sokongan padu pengundi-pengundi Melayu. Orang-orang India perlu sedar bahawa semenjak Merdeka kepentingan mereka telah dijaga oleh UMNO/BN dan mereka tidak sepatutnya terpengaruh lagi dengan parti-parti ekstrim seperti Hindraf di zaman PH dahulu. Di mana Waytha Moorthy dan janji setiap orang keturunan India di Malaysia akan mendapat RM1 juta daripada hasil tuntutan yang dibuat di mahkamah di England?

PH yang memenangi 15 kerusi dalam PRU-14 hanya memenangi lima kerusi dalam PRN ini, empat oleh DAP dan satu oleh Amanah. DAP hanya memenangi empat daripada lapan kerusi yang ditandinginya. Dalam PRU-15, DAP memenangi kesemua lapan kerusi itu. Nampaknya sebahagian pengundi Cina telah pun mula berfikir bahawa 60 tahun di bawah BN adalah lebih baik bagi perniagaan mereka daripada 22 bulan di bawah PH.

Kekalahan PKR dalam kesemua kawasan yang ditandinginya adalah mengejutkan. Ia menjadi petunjuk kepada kemungkinan yang akan berlaku kepadanya dalam PRU-15. Orang Melayu sudah bosan dengan kerenah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Eloklah beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dan bersara daripada politik. Sudah terlalu lama beliau bercita-cita dan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri, Allah masih belum mengizinkannya. Mungkin sudah tiba masanya untuk beliau menerima hakikat itu sebagai takdir. PKR pun mungkin sudah tidak relevan lagi. Tidak ada lagi keadilan yang hendak diperjuangkan untuknya.

Kemenangan satu kerusi oleh Amanah bukanlah petunjuk ia akan hidup. Mungkin kerana calonnya adalah bekas Ketua Menteri dan calon Ketua Menteri jika PH menang. Itu pun majoritinya telah dikurangkan daripada 3,159 kepada 1,057. Adalah nyata tanpa calon Pas yang memperoleh 3,715 undi, calon UMNO/BN yang memperoleh 5,748 undi akan menang.

Kekalahan PN mulanya agak mengejutkan. Tetapi, apabila difikirkan, ia tidaklah mengejutkan sangat. Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi. Ia tidak lagi boleh mengharapkan undi orang Cina dan dan undi tsunami Melayu kepada PH seperti yang berlaku dalam PRU-14. Dalam PRN ini, ia hanya mengharapkan pengundi Pas dan sebahagian pengundi Melayu yang berpuas hati dengan Kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tanpa golongan kedua yang disebut dalam ayat sebelum ini ia pasti gagal. Demi perpaduan orang Melayu, Bersatu lebih baik dibubarkan. Ia hanya menunggu masa untuk terkubur. Pemimpin-pemimpinnya yang telah melompat keluar dari UMNO eloklah kembali semula kepada UMNO dan UMNO hendaklah menerima mereka dengan baik.

Pas yang kurang senang dengan UMNO atas sebab-sebab yang saya telah sebut di atas, eloklah berfikir semula siapa yang patut menjadi gandingannya dalam PRU-15. Pas tentu berfikir mengenai masalah pembahagian kawasan pilihan raya untuk ditandingi masing-masing di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika ia bekerjasama dengan UMNO.

Saya syorkan, di Kelantan serta Terengganu UMNO dan Pas boleh menentang satu sama lain. Tidak ada kemungkinan kerajaan Kelantan atau Terengganu akan jatuh kepada PH. Pas boleh bekerjasama dengan Bersatu di Kelantan dan Terengganu. Tiada masalah. Yang akan menang adalah Pas atau UMNO. Sebenarnya, perbezaan antara keduanya di Kelantan dan Terengganu hanya orangnya. Yang lainnya sama.

Formula di Kelantan dan Terengganu boleh dipakai di Kedah. Atau, UMNO dan Pas boleh (malah adalah lebih baik jika ia berbuat demikian) kembali kepada MN dan bekerjasama dalam PRU-15 untuk mengelak pertembungan sesama sendiri yang berkemungkinan memberi kemenangan kepada PH. Pas tidak akan rugi dengan meninggalkan Bersatu di Kedah. Dalam PRU-14 pengundi-pengundi Melayu di Kedah mengundi Bersatu kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sekarang tidak mungkin mereka akan mengundi Bersatu kerana Muhyiddin. Pas juga tidak boleh mengulangi prestasinya dalam PRU-14. Keadaan telah berubah.

Di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, UMNO dan Pas hendaklah bekerjasama untuk mengelak pertembungan antara keduanya untuk mengelak kemenangan PH. Itu adalah matlamat yang paling utama, bukan menguji kekuatan masing-masing yang menyebabkan kedua-duanya kalah. Itu kerja Pak Pandir.

Putra yang calon-calonnya hanya sekadar mendapat jumlah undi sebanyak dua angka masing-masing eloklah berfikir sedalam-dalamnya sama ada ia perlu terus dikekalkan.

Pengundi-pengundi Melayu telah menunjukkan bahawa mereka telah serik dengan pemerintahan PH selama 22 bulan itu bahawa mereka muak dengan politicking yang melampau, bahawa mereka tidak menerima perbuatan lompat melompat parti demi kepentingan diri, bahawa mereka mahu kembali kepada ketenangan 60 tahun zaman pemerintahan UMNO/BN dan orang Melayu mahu Melayu bersatu dan kuat semula. Itu parti-parti Melayu perlu mengambil perhatian.

Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam. Pemimpin-pemimpin UMNO jaga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU-14.

Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi Ahmad Zahid. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia. Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, Ahmad Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO. Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya dalam PRU-14. Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang, seperti yang dilakukan Najib dalam PRN Melaka ini. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka peroleh daripada UMNO selama ini. Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo