Responsive Ad Slot

Gagal majukan industri padi, dasar tanah ‘berat sebelah’ antara kebimbangan berhubung keselamatan makanan




Walaupun Malaysia baru-baru ini berada di ranking kedua Asia Tenggara selepas Singapura dari segi keselamatan makanan, pakar mengingatkan masalah struktur berkaitan perkara itu yang masih menghambat negara ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata isu utama yang berbangkit adalah berhubung sektor padi dan beras, mengatakan tahap pengeluaran padi suram walaupun peruntukan belanjawan yang besar diberikan kepada kementerian pertanian dari 2015 hingga 2017.

Bekas pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Universiti Putra Malaysia Fatimah Mohamed Arshad berkata walaupun peruntukan untuk pertanian meningkat empat kali ganda, pengeluaran padi masih tidak menunjukkan kemajuan.

Katanya pada 2008, pengeluaran padi Malaysia adalah 3.72 tan per hektar. Pada 2019, jumlah tersebut menurun 5% menjadi 3.5 tan sehektar.

“Tiada industri hiliran berasaskan padi dan beras yang meluas kecuali dedak untuk ternakan dan bihun,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini menjadikan nilai padi adalah rendah kerana tiada potensi untuk dijadikan keluaran yang bernilai tinggi.”

Menurutnya, kekurangan aktiviti hiliran menyebabkan industri tersebut lembab dan sumber padi tidak digembleng secara sepenuhnya.

“Negara lain seperti Jepun dan Thailand mempunyai banyak produk tambahan berdasarkan padi dan beras,” katanya.

Fatimah turut berkata kebimbangan lain adalah penggunaan tanah, kerana tanah pertanian diubah menjadi kawasan projek pembangunan seperti perumahan.

Beliau juga turut menyentuh isu dasar berat sebelah terhadap tanaman industri yang turut memberi kesan kepada pengeluaran makanan.

Sebagai contoh, katanya tanaman sawit mengambil bahagian terbesar dari segi penggunaan tanah, sementara penggunaan kawasan penanaman getah dan koko menyusut sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2020, bahagian tanah yang digunakan untuk perladangan kelapa sawit mencapai 73% sementara bagi penanaman makanan hanya menguasai 10%.

“Era kejayaan tanaman industri hanya bergantung dengan kelapa sawit,” katanya.

“Model estet hanya diamalkan dalam industri minyak sawit. Sudah tiba masanya Malaysia beralih kepada kekayaan semula jadinya, iaitu makanan.”

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) baru-baru ini turun dari tangga ke-28 ke 43 dalam senarai 113 negara.

Namun, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee memberitahu Dewan Rakyat penurunan itu disebabkan oleh perubahan skor yang dibuat Economist Intelligence Unit yang turut menyebabkan perubahan kedudukan bagi Singapura dan Australia.

Singapura jatuh dari tempat pertama ke tangga 20 sementara Australia turun dari tangga ke-12 hingga tangga ke-26.

Isu keselamatan makanan juga turut dibahaskan di Parlimen bulan lalu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga turut menyebut perkara sama dalam ucapan perbahasannya mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).



Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia Nurfitri Amir Muhammad berkata kerajaan tidak seharusnya hanya melihat GFSI sahaja, sedangkan tahap berdikari atau SSL juga penting.

Katanya GFSI juga mengambil kira petunjuk lain seperti KDNK, yang menjadikan antara punca mengapa Singapura menduduki tempat tertinggi.

Tambahnya, indeks sahaja tidak bermaksud republik itu dapat berdepan gangguan bekalan makanan.

“GFSI tidak membezakan makanan makanan yang diimport dan makanan yang dihasilkan. Kita mesti melihat kebolehan sesuatu negara menghasilkan makanan. Ini yang dipanggil SSL,” katanya, sambil menambah GFSI dapat digunakan untuk mengukur tahap pengurusan makanan.

“Kita boleh guna GFSI sebagai cara melihat tahap pengurusan makanan.”

Nurfitri berkata, kerajaan juga harus mengambil kira monopoli sumber atau input pertanian dari segi benih, baja, racun perosak dan mesin, selain kenaikan kos dan masalah orang tengah melebarkan margin keuntungan yang besar dalam industri ini.

“Input pertanian kita perlu liberalizekan supaya ada persaingan, dan subsidi juga perlu diberikan secara terus kepada petani, bukan kepada vendor-vendor,” katanya.

Malaysia mengimport makanan bernilai RM55 bilion tahun lalu termasuk bijiran, kopi, koko, rempah, produk tenusu dan makanan ternakan.

Pengarah program Third World Network Chee Yoke Ling berkata pandemik Covid-19 sepatutnya menjadi peringatan bagi negara supaya ia mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.

“Kita import hampir semua makanan penting, ini bermaksud ketika negara pengeksport dilanda bencana alam seperti taufan, gempa bumi atau kemarau, mereka tidak dapat menyediakan apa yang kita perlukan.

“Pandemik Covid-19 juga merupakan peringatan bahawa perdagangan makanan boleh terganggu, dan pengeluaran makanan di negara pengeksport juga akan terkena kesannya,” katanya.

Chee berkata, masyarakat luar bandar mempunyai ketahanan dan keselamatan lebih tinggi dalam isu bekalan makanan.

Beliau menyarankan agar kerajaan mendorong pertanian ekologi yang lebih luas untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

“Semakin ramai orang muda dan profesional yang menceburi pertanian organik atau permakultur. Pengamal pertanian jenis ini juga turut menghidupkan kembali lebih banyak jenis benih, pokok dan herba.

“Terdapat juga minat yang semakin meningkat terhadap sayur-sayuran, tanaman herba dan buah-buahan di bandar atau di rumah, terutama sepanjang musim Covid-19. Ini adalah trend yang sangat baik dan harus didorong dan disokong oleh dasar kerajaan.”

https://www.malaysianow.com/berita/2021/10/19/gagal-majukan-industri-padi-dasar-tanah-berat-sebelah-antara-kebimbangan-berhubung-keselamatan-makanan/


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo