NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Elak bertembung, daftar GRS sebagai gabungan parti politik


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu didaftar sebagai gabungan parti politik secara rasmi bagi memperkasa hala tuju gabungan berkenaan.

Demikian saranan Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak setelah mengambil kira situasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini yang menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, PRN Melaka memberi petunjuk jelas untuk pemimpin politik GRS bertindak dalam memperkasakan hala tuju GRS.

“Pemimpin GRS wajar duduk semeja dan bincang tindakan untuk memperkasakan GRS kerana ia penting untuk memperkuatkan kuasa anggota GRS.

“Kita perlu mengutamakan pendaftaran GRS sebagai gabungan politik yang rasmi. Pemimpin GRS perlu bincang segera untuk merealisasikan objektif ini.

“GRS boleh pertimbangkan membuka keahlian secara langsung kepada parti lain untuk menyertai gabungan GRS dan juga individu yang ingin menjadi ahli biasa dalam GRS,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.


Bekas Ketua Menteri itu berkata, jika dilihat pembentukan GRS membabitkan BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa menerajui pemerintahan negeri yang baru selepas PRN Sabah.

Salleh berkata, gabungan GRS berkesan kerana ia melibatkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan yang mempunyai struktur jelas.

Berdasarkan keadaan PRN Melaka, timbul persoalan bagaimana ahli GRS di Sabah dapat mengelak pertembungan berlaku pada masa depan.

“Situasi politik Sabah berbeza dari Semenanjung dan kita tidak boleh lalai dalam perkara ini.

“Secara peribadi, saya telah memberikan pandangan saya mengenai perkara ini kepada kepimpinan tertinggi GRS. Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat, tetapi demi masa depan Sabah, saya percaya penting untuk kita membincangkan tentang perkara ini secara terbuka, membina dan bertimbang rasa,” katanya.

Salleh berkata, beliau mahu rakyat tidak lagi keliru mengenai GRS dan gabungan ini perlu kekal fokus dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah.

“Kita perlu membangunkan ekonomi negeri, menyediakan peluang pekerjaan dan mempersiapkan generasi muda untuk menjadi pemimpin masa depan Sabah.

“Sabah begitu kaya dengan sumber alam semula jadi dan terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang saling bertoleransi. Bagi memastikan Sabah terus melangkah ke hadapan, GRS perlu ketepikan polemik politik dan kekal berkhidmat kepada rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo