NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP desak PH segera calonkan Adly sebagai Ketua Menteri Melaka


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui Pakatan Harapan (PH) telah membuat “kesilapan” berhubung cara mereka mengangani ADUN yang berpaling tadah dari Umno.

Bagaimanapun, Lim menyatakan harapan agar PH tidak terus melakukan lebih banyak kesilapan, terutamanya mengenai calon ketua menteri gabungan itu untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Kita telah melakukan kesilapan dan kita tidak boleh terus melakukan lebih banyak kesilapan.

“Khususnya, calon ketua menteri mestilah Adly Zahari,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Lim juga mengakui bahawa DAP – yang tidak bersetuju pendirian PH mencalonkan bekas Adun Umno berkenaan dalam PRN tetapi terpaksa akur dengan keputusan PKR dan Amanah – perlu bekerja keras untuk menjelaskan isu itu kepada rakyat.

Adly dari Amanah adalah ketua menteri Melaka semasa PH menjadi kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020. Dia akan mempertahankan kerusinya di Bukit Katil.

Sumber parti yang mengetahui tentang rundingan PH memberitahu Malaysiakini bahawa DAP telah mendesak Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk secara rasmi mengumumkan Adly sebagai calon ketua menteri.

Ini berikutan kebimbangan akan kemungkinan Idris Haron, yang berpaling tadah daripada Umno dan akan dipertaruhkan PKR di kerusi Asahan sebagai calon PH, mempunyai cita-cita untuk memegang jawatan itu.

Sehingga kini, Anwar, yang juga pengerusi PH, tidak secara rasmi mengesahkan Adly sebagai calon ketua menteri gabungan mereka.

Idris pada Oktober mengetuai pembelotan empat Adun termasuk dirinya untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Umno-Bersatu di Melaka.

Kerajaan Umno-Bersatu dibentuk melalui pembelotan beberapa Adun pada 2020.
Idris berharap untuk membentuk kerajaan baharu dengan bantuan PH tetapi gagal apabila penyandang Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali memohon pembubaran DUN, membuka jalan kepada PRN diadakan.

Sebelum rampasan kuasa itu dihalang, sumber PKR telah memberitahu Malaysiakini bahawa mereka bersedia untuk menyokong Idris sebagai calon ketua menteri kerana dia boleh mendapatkan lebih ramai Adun Umno untuk berpaling tadah dan mengikut jejaknya.

Walau bagaimanapun, tiada gambaran jelas kemungkinan lebih ramai Adun berpaling tadah, jika ada, selepas percubaan untuk membentuk kerajaan negeri baru gagal.

Tidak jelas sama ada PKR masih menggunakan strategi yang sama atau sama ada Idris masih mempunyai pengaruh untuk mendapatkan sokongan daripada Adun Umno sekiranya DUN tergantung.

Harus diingat bahawa kepimpinan Umno, setelah berunding dengan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, telah menggantikan majoriti penyandang dalam pilihan raya negeri.

Hanya lima daripada 13 penyandang itu dikekalkan sebagai calon untuk PRN pada 20 Nov ini.

Ini bermakna mana-mana calon yang berpotensi berpaling tadah yang mungkin ingin menyertai Idris tetapi tidak meneruskan hasratnya apabila DUN dibubarkan, mungkin akan diganti.

PKR meletakkan Idris di Asahan di bawah PH. Idris sebelum ini bertanding di Sungai Udang.

Selain Idris, Amanah turut meletakkan Nor Azman di Pantai Kundor sebagai calon PH. Nor Azman sebelum ini memenangi kerusi itu ketika bersama Umno.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo