NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka : kawan jadi lawan di DUN Pantai Kundor


MELAKA: Persaingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan dua rakan saling menentang atas perbezaan parti.

Calon Barisan Nasional (BN), Ketua Wanita UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya, Tuminah Kadi, dinamakan untuk menentang bekas Ketua UMNO cawangan itu, Datuk Nor Azman Hassan, yang dipecat daripada parti, bulan lalu.

Tuminah, 55, dipilih membawa cabaran mengekalkan kerusi BN selepas Nor Azman menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Tugas dan amanah berat yang dipikul bagaimanapun tidak menghakis rasa hormat Tuminah terhadap Nor Azman sebagai bekas pemimpin UMNO di cawangan berkenaan.

"Memang kami pernah menjadi rakan sepasukan dalam UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya, namun saya lebih sayangkan parti daripada pemimpin.

"Pemimpin datang dan pergi tetapi parti kekal sebagai wadah perjuangan.

"Saya memikul tugas memastikan kemenangan UMNO dan BN di kerusi itu walaupun terpaksa menentang bekas pemimpin sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tuminah mengakui terkejut ketika dimaklumkan dipilih sebagai calon BN mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor, namun tidak menolak untuk memikul amanah itu.

Beliau yakin pengundi mampu membuat menilaikan kemampuan BN untuk melaksanakan pembangunan berterusan demi masa depan yang lebih gemilang.

Sementara itu, Nor Azman yang bertanding atas tiket AMANAH mewakili Pakatan Harapan (PH), tidak memandang rendah cabaran Tuminah dan sudah bersedia dengan jentera pilihan raya PH untuk mencapai kemenangan.

"Saya yakin mampu meraih sokongan pengundi kerana sudah memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Ketika memimpin UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya, beliau dan Tuminah mengadakan pelbagai program memajukan masyarakat dan yakin penduduk memperoleh manfaat daripadanya.

Seorang lagi calon di kerusi DUN Pantai Kundor ialah Mohd Ridzwan Mustafa daripada BERSATU yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-14, Nor Azman yang mewakili BN menang dengan majoriti 772 selepas menewaskan calon PH, Juhari Osman dan calon PAS, Abdul Halim Maidin.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo