Responsive Ad Slot

‘Climate Change’ mengikut kaca mata Islam


BARU-baru ini di Glasgow, Scotland, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu persidangan tentang perubahan iklim sedunia yang dikenali sebagai COP 26 bermula dari 31 Oktober hingga 13 November 2021.

Ia adalah persidangan kali ke 26 yang dianjurkan oleh PBB bagi menangani krisis perubahan iklim sedunia di mana ketika ini, ia sudah memasuki tahap kritikal hingga mampu mengancam kehidupan manusia dan alam sekitar.

Persidangan tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama dunia dan mendapat liputan meluas daripada media-media utama dunia termasuk juga aktivis-aktivis utama alam sekitar dunia.

Aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg, seorang aktivis remaja Sweden yang berusia 18 tahun turut memberikan desakan agar pemimpin dunia memainkan peranan yang lebih proaktif untuk menangani krisis perubahan iklim yang berlaku ketika ini.

Delegasi dari Malaysia turut hadir ke persidangan tersebut dan rombongan tersebut diketuai oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Kehadiran delegasi dari Malaysia menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Malaysia untuk bersama menangani krisis perubahan iklim yang berlaku ketika ini.

Walaupun berdepan dengan kritikan dari pembangkang seolah-olah Menteri Alam Sekitar dan Air tidak akan hadir ke Persidangan COP 26 dan takut hadir kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, kita sebagai rakyat Malaysia patut berbangga kerana YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man petah berucap di persidangan tersebut menggunakan bahasa kebangsaan.

Ucapan tersebut mendapat reaksi positif daripada majoriti rakyat Malaysia yang begitu banyak dipaparkan di media sosial. Ia sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dan sikap konsisten PAS dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan, yang mana ia bukan omongan kosong sebagaimana yang diutarakan sesetengah pihak yang mengaku memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Selain daripada diperkasakan pengunaan bahasa kebangsaan dalam segenap sudut di dalam negara, bahasa kebangsaan juga wajar digunakan dan diangkat oleh pemimpin-pemimpin negara ketika menghadiri majlis, forum dan persidangan-persidangan utama dunia sebagai salah satu kaedah memperkenalkan dan mempromosikannya kepada dunia.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memulakan ucapan beliau dengan membacakan ayat Al-Quran dari Surah Ar Rum, ayat 7 yang membicarakan tentang kerosakan alam sekitar sama ada di lautan dan di daratan yang berpunca dari tingkah laku dan aktiviti manusia.

Ia sekaligus membuktikan bahawa Islam sebenarnya sejak mula lagi telah membicarakan tentang isu alam sekitar dan memberikan amaran tentang kemusnahan yang bakal berlaku kepada habitat manusia jika tidak ditangani dengan sebaiknya sikap-sikap manusia yang mampu merosakkan alam sekitar.

Pemilihan ayat 7 dari surah Ar Rum oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man benar-benar menarik perhatian saya, tidak hanya ia berkisar dengan krisis alam sekitar yang berlaku ketika ini namun sekali gus menonjolkan kepada umum terutamanya kepada masyarakat barat bahawa Islam tidaklah seperti yang mereka sangkakan sebagaimana yang dipaparkan oleh media barat.

Isu perubahan iklim sebenarnya bukanlah isu baharu bahkan ia sentiasa menjadi perbahasan di pentas-pentas antarabangsa sejak sekian lama. Sudah banyak resolusi-resolusi yang telah dicapai namun kebanyakannya tidak diendahkan oleh kuasa-kuasa besar dunia, umpama melepaskan batuk di tangga.

Malah Amerika Syarikat sendiri menarik diri dari Perjanjian Iklim Paris atau Paris Climate Accord pada awal 2020 ketika Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat namun hanya kembali menyertainya pada tahun ini.

Mengapa isu perubahan iklim sedunia ini yang diperjuangkan oleh negara-negara utama dunia ketika ini seperti tidak membawa perubahan besar dan memberikan kesan positif walaupun pelbagai perjanjian dan resolusi telah dicapai?

Ini adalah kerana banyak negara-negara utama dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Britain dan beberapa negara lagi adalah penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau mahupun karbon dioksida ke permukaan ozon yang menjadi penyebab utama kepada pemanasan suhu global.

Selain daripada itu, aktiviti seperti revolusi industri yang tidak terkawal, pembangunan tidak seimbang, pencemaran sungai dan lautan, eksplorasi sumber asli yang tidak terkawal dan banyak lagi akiviti yang menjadi penyebab utama kepada perubahan iklim yang begitu drastik ketika ini.

Mutakhir ini, isu ini di pandang begitu serius sekali kerana begitu banyak bencana-bencana alam yang berlaku seperti ribut taufan, gempa bumi, cuaca panas dan sejuk yang melampau dan peningkatan paras air laut menjadi ancaman dan meragut ramai nyawa manusia serta merosakkan banyak harta benda awam sekaligus menjadikan ia perkara utama yang wajar diselesaikan mahupun di jadikan agenda utama pemimpin-pemimpin dunia.

Al-Quran dan Al-Sunnah mendahului sains

Al-Quran dan al-Sunnah sejak sekian lama telah mendahului sains dalam membicarakan tentang perubahan iklim dan telah diperkatakan sejak empat belas abad yang lalu. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW telah menyebut bahawa Semenanjung Arab akan kembali subur menghijau sebagaimana zaman sebelumnya.

Beberapa tahun lalu, saintis daripada NASA melalui imej satelit mendapati bahawa kawasan Rubu’ al-Khali di Arab Saudi yang menjadi kawasan simpanan minyak mentah terbesar di dunia pada satu ketika dahulu adalah kawasan yang subur dengan hutan belantara dan denai-denai sungai di segenap penjuru.

Saintis tersebut juga menyatakan bahawa perubahan cuaca yang berlaku pada hari ini akan menyebabkan perubahan garisan bumi yang akan merubah iklim panas kepada sejuk dan sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Baginda Rasullah SAW dalam hadis yang dinyatakan di atas akan terjadi setelah perubahan garisan bumi berlaku akibat daripada perubahan iklim ketika ini.

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah dan at Thabrani, bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda tentang salah satu tanda akhir zaman apabila munculnya imam Mahdi yang akan dibai’ah oleh umat Islam. Pesan Rasulullah SAW, pergilah berbai’ah kepadanya walaupun merangkak di atas salji. Hadis ini memberi gambaran bahawa akan berlaku perubahan iklim yang ekstrem di Semenanjung Arab sehingga turunnya salji yang dimaklumi satu wilayah gurun padang pasir yang luas.

Dalam hadis-hadis tentang fitnah Dajjal yang akan berlaku di akhir zaman pula, Rasulullah SAW menyatakan akan berlaku perubahan masa pada zaman tersebut, sehari seperti sebulan, hari yang berikutnya seperti seminggu dan hari seterusnya seperti hari-hari biasa. Hadis ini secara tidak langsung menyatakan tentang perubahan cuaca yang ekstrem bakal berlaku apabila tiba masanya.

Walaupun tidak diperincikan secara spesifik tentang perubahan iklim yang bakal berlaku di dalam hadis-hadis tersebut, ternyata dunia akan melaluinya apabila tiba masanya. Ini membuktikan kebenaran Nabi Muhammad SAW dengan apa yang diturunkan al-Quran dan al-Sunnah, menyatakan perkara-perkara yang tidak berlaku di zaman baginda akan tetapi dapat dilihat pada zaman ini dan seterusnya.

Mengikut falsafah Islam, untuk mengatasi isu alam sekitar, ia meletakkan beberapa prinsip utama antara lain ialah:

1) Amanah dan tanggungjawab
2) Mencegah sebelum merawat
3) Tidak melampau dan membazir
4) Keseimbangan penghidupan
5) Kelestarian alam semulajadi

Oleh itu, sama-samalah kita berusaha memelihara alam sekitar dan menjaganya supaya usaha kecil kita ini dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim yang berlaku ketika ini. Masih belum terlambat lagi untuk saya ucapkan tahniah buat YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man atas ucapan beliau di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Semoga kita semua dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

Islam Menyatukan Ummah

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
ADUN Batu Buruk

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo