NOTIS:

Belum ada lagi....

Budaya/Bahasa Melayu amat rapat dengan Islam

0



RUMAH kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, semasa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang...pada usia senja sekarang ini teringat saya akan pantun atau ungkapan orang bijaksana ini.

Perkataan 'bijaksana' itu pun membayangkan betapa ke depannya orang Melayu yang bahasanya sekarang ini diperkotak-katikkan sesetengah pihak kononnya bahasa Melayu tidak layak menjadi pengantar di sekolah lantas mereka mahu menggembalikan sekolah aliran Inggeris.

Perhatikanlah bahawa orang Melayu tidak hanya bercakap mengenai 'bijaksini' tetapi 'bijaksana' bagi membayangkan betapa prihatinnya mereka terhadap nasib mereka di akhirat nanti. Ini juga bermakna bahasa Melayu amat berkait rapat dengan Islam; hakikatnya Islamlah yang telah mengukuhkan bahasa Melayu sehingga menjadi lingua franca alam sebelah sini (Nusantara).

Mengenai ungkapan 'rumah kecil tiang seribu...itu seorang penulis membuat tafsiran ini: "Sehebat manapun kita, tetap tidak dapat menandingi kehebatan seorang ibu yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, tanpa terma dan syarat, tanpa sesal dan ralat...juga sepandai manapun kita mencipta resepi, tetap tidak dapat menandingi keenakan 'air tangan' ibu yang dimasak dengan penuh kasih sayang yang luhur.

"Dan setinggi manapun darjat kita, tetap tidak dapat menandingi ketinggian darjat seorang ibu, hingga doanya tiada hijab di sisi Yang Maha Berkuasa...oleh itu dalam sibuknya kita mengurus dunia dan mengejar cita-cita, panjatkanlah doa buat ibu yang semakin dimamah usia, barangkali raut wajahnya tidak lagi segar seperti dulu namun kasihnya tetap mekar dan subur, takkan layu ditelan waktu..."

Katanya lagi, hanya setelah bergelar ibu, barulah seorang anak mengerti mengapa kemuliaan seorang ibu tiga kali mengatasi kemuliaan seorang ayah.




Ketika mengamit nostalgia pantun...'Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang...' baru-baru saya terperasan rupa-rupanya ada versi lain yang lebih mendekati orang Melayu akan amalan agamanya, Islam.

Pantun itu berbunyi: "Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, hidup di dunia bantu membantu, dalam kubur terbaring seorang."

Kemudian ada lanjutan pantun yang berbunyi: "Anak ayam turun sembilan, mati satu tinggallah lapan, amal ibadat pengganti badan, kita kan tinggal di balik papan."

Mengenai pertautan rapat bahasa Melayu dan Islam ini, teringat penulis akan perbincangan dengan seorang sarjana bahasa tidak lama dulu.

Beliau yang bergelar Dr mengajar di sebuah universiti tempatan. Apa yang menarik dicelotehkan pensyarah ini adalah mengenai ketinggian martabat serta kedudukan bahasa Melayu dan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan berhubung perkembangan dan kemajuan bahasa ini adalah Islam.

Katanya, Islamlah yang memartabatkan bahasa Melayu sekali gus bangsa Melayu; sebarang langkah untuk 'memperkecil-kecilkan' atau 'mengnyahkan' bahasa ini bermakna orang Melayu dikhuatiri tidak akan maju tamadunnya. Tanpa bahasanya yang maju, tidak mungkin orang Melayu yang hampir semuanya beragama Islam akan maju hatta longgar juga dalam pegangan Islam mereka.

Sejak Islam datang dan diterima di alam Melayu dengan pengislaman raja-raja Pasai, Perlak, Aceh, Mataram (Jawa), Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu, Petani, Brunei dan banyak lagi wilayah, bahasa Melayu yang mengadaptasi tulisan Arab (Jawi) mengalami perkembangan teramat pesat sehinggakan bangsa ini maju dari segi budaya, kesusasteraan, pemerintahan dan teknologinya.

Islam telah mengangkat bahasa dan bangsa Melayu - bangsa dan kerajaan di rantau ini diiktiraf seantero dunia termasuk pemerintah China, India dan paling penting empayar Islam yang menguasai dunia ketika itu, Uthmaniyah yang berpangkalan di Turki.

Bahasa Melayu dengan huruf jawi amat berkait rapat dengan Islam termasuk amalan beragama. Di ruangan kecil ini memadailah diberi contoh mudah. Istiqamah satu sifat penting dalam melakukan peribadatan dalam Islam. “Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, bermaksud: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam bahasa Melayu ada 'bunga bahasa' seperti peribahasa yang bermaksud seakan-akan selari dengan maksud hadis tersebut seperti 'sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit' dan 'sehari selembar benang lama-lama jadi sehelai kain'.

Kata sarjana itu, ini menunjukkan pengaruh Islam amat hebat dalam bahasa Melayu dan perkara ini disedari penjajah yang sedaya upaya 'memisahkan Islam daripada bahasa Melayu'. Maka dibuang dan dihapuskan huruf Arab (jawi) digantikan dengan huruf rumi dan mutakhir ini ada pemimpin berpendapat bahasa Melayu tidak berupaya membicarakan ilmu teknologi seperti Sains dan Matematik. Lantas mereka 'memandulkan' bahasa Melayu dengan 'tidak membenarkan bahasa ini membicarakan Sains dan Matemik di sekolah dan universiti sebaliknya diagung-agungkannya bahasa Inggeris.

Hakikatnya, kata sarjana itu bahasa Melayu hebat dalam memperkatakan teknologi jika tidak masakan bangsa Melayu suatu ketika dulu terkenal sebagai pelayar hebat dan menjelajah lautan dunia; rumusannya istiqamahlah dalam memperkasa bahasa Melayu walaupun secara berdikit-dikit, namun jika cuba 'dimandulkan' bahasa Melayu, dikhuatiri bangsa Melayu juga akan memasuki zaman gelapnya.

Ya, penjajah sudah berjaya sebahagiannya 'menanggalkan' Islam daripada bahasa Melayu, namun wahai pejuang bangsa dan bahasa, istiqamahlah, terus berjuang memperkasa bahasa Melayu yang amat bertaut rapat dengan Islam. Jika dipisahkan elemen Islam daripada bahasa Melayu, bukan saja bahasa ini akan mati tetapi juga bangsa ini! Buktinya Tanah Melayu sudah tiada, mungkinkah bangsa dan bahasanya akan menyusul. Nauzubillah.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo