Responsive Ad Slot

Pesanan buat anak bangsa




Telah berbicara
Insan budiman lagi bijaksana 
Dengarlah 
Inginku berpesan pada mu 
Wahai 
Anak bangsa tercinta 
Hayati dan amatilah
Andai satu masa nanti  Orang Melayu akan berbalah 
Orang Melayu akan bertelagah
Bukan kerana 
Mereka susah 
Bukan kerana 
Mereka  dihimpit kemiskinan
Bukan jua kerana 
Mereka tiada makanan 

Malah 
Ramai yang sudah kaya
Tak kurang yang jadi jutawan 
Tapi
Mereka diuji
Kerana
Inginkan pangkat
Dan harta
Mata pun
Menjadi kelabu dan buta
Buat melihat kebenaran

Lalu
Berpesan lagi
Cerdik pandai
Buat anak bangsanya
Aku bimbang 
Selepas aku sudah tiada
Di waktu kau
Menjadi orang ternama
Di waktu kau
Disanjung dan dipuja
Di waktu kau
Sudah punya segala yang di impi 
Kau 
Tiba tiba 
Lupa diri 
Lupa bangsa sendiri 
Lupa agama 
Malah 
Aku takut 
Syaitan akan bersarang di hati mu 
Lalu 
Sifat malu sudah tiada lagi 
Maruah dan harga diri 
Hilang lenyap 
Pada diri 
Pabila 
Pakaian malu sudah tertanggal 
Pada tubuh mu 
Kau tak ubah 
Seperti orang gila
Tanpa pakaian 
Bertelanjang
Di mana saja 

Kini 
Memang telah terjadi 
Segala kata 
Segala pesanan 
Segala nasihat 
Segala mutiara hikmat mu 
Seakan 
Terjelma di hadapan mata 
Sayang 
Seribu kali sayang 
Sudah boleh dihitung kini Anak Bangsa 
Kita 
Sudah hilang 
Adap dan akhlak 
Anak Bangsa 
Sudah hilang 
Tata susila bangsanya sendiri 
Anak Bangsa 
Kita kini 
Sudah malu 
Untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan sendiri
Kotor dan jijik 
Anak Bangsa 
Kita kini 
Sudah tidak peduli haram dan halal 
Dosa dan pahala 
Nasihat nasihat agama 
Sudah tak didengari lagi. 

Apakah 
Malapetaka ini 
Adakah lantaran 
Ulamak tak dipeduli 
Nasihatnya tak didengari lagi 
ilmunya tak dipelajari 
Pesanannya 
Disanggah dan dicaci 
Lalu 
Pewaris Anbia
Tak diendah lagi 

Tegakah kita hanya melihat
Tanah warisan 
Dimiliki orang asing 
Anak cucu 
Tanpa tanah 
Tanpa rumah 
Pendatang 
Menjadi pemimpin 
Menjadi saudagar 
Memiliki gedung  perniagaan 
Apa lagi yang ada 
Pada anak bangsa ini? 
Adakah 
Tanah tercinta ini 
Adakah bumi tercinta ini 
Bakal dijajah lagi? 
Adakah anak bangsa tercinta ini 
Akan 
Menjadi pelarian 
Di Negeri sendiri? 

Buat mereka yang bernama 
Pemimpin 
Buat mereka yang 
Mendapat mandat
Menjadi pemerintah
Berhentilah daripada
egois dan angkuh
Muhasabahlah kekurangan diri
Usah berbalah sesama sendiri
Berhentilah dari merebut 
Pangkat dan kekuasaan 
Jangan biarkan 
Negara tergadai 
Jangan biarkan 
Agama terhina dan dihina 
Jangan biarkan 
Maruah dan harga diri 
Hilang 
Dek 
Nama dan kedudukan. 
Jangan biarkan 
Rakyat Dihimpit 
Penderitaan tanpa 
Makan dan minum 
Jangan biarkan 
Rakyat terkapai-kapai tanpa pekerjaan 
Jangan biarkan 
Rakyat tanpa tempat berlindung
Justeru mereka memilih kalian
Dengan penuh ketulusan
Jangan biarkan 
Rakyat tanpa agama 
Tanpa akhlak 
Tanpa maruah dan harga diri. 

Semoga 
Pesanan ini 
Bisa dimengertikan
Kerna 
Nasihat dan pesanan itu 
Pelita Kehidupan 
Buat 
Mereka yang memiliki
Akal dan hati budi
Yang suci murni

Ust Md Ali Jamil 
Jumaat 10.30 pagi 
1 Rabiul Awal 1443 
8 Oktober 2021.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo