NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendedahan Kertas Pandora, SPRM belum mulakan siasatan


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memulakan siasatan terhadap laporan Kertas Pandora baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, SPRM dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan tersebut.

“SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan koordinasi siasatan berhubung perkara ini berjalan lancar,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanyakan kesediaan kerajaan untuk menyiasat berikutan pendedahan Kertas Pandora yang melibatkan anggota pentadbiran, ahli Dewan Rakyat dan bekas anggota pentadbiran negara.

Wan Junaidi menambah, kerajaan juga tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka.

“Sebagai makluman juga, BNM telah meningkatkan pemantauan dan perisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen.

“Ini menyumbang kepada peningkatan aktiviti penguatkuasaan menyasarkan aktiviti kiriman wang tanpa lesen sama ada aktiviti bersindiket dan juga operator-operator runcit.

“Bagi tempoh 2017 hingga 2020, tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan dengan 64 kes telah didakwa di mahkamah, melibatkan lebih RM11 juta jumlah denda dan perlucuthakan harta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai laporan pihak The Coverage berhubung pengaliran keluar dana sebanyak RM1.8 trilion dana nama individu lain seperti ahli-ahli keluarga bekas Perdana Menteri.

Tegasnya, laporan itu tidak merajuk kepada Kertas Pandora semata-mata.

“Sebaliknya maklumat pengaliran dana tersebut dinyatakan dalam laporan Global Financial Integrity (GFI) manakala nama-nama tambahan tersebut adalah daripada pendedahan-pendedahan lain oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) seperti Paradise Papers dan Panama Papers.

“Laporan GFI mengenai aliran keluar kewangan haram bagi Malaysia adalah terlebih nyata (overstated) kerana ia tidak mengambil kira ‘Rotterdam effect’ serta menganggap 'errors and omissions' (E&O), yang timbul akibat percanggahan dalam proses kompilasi data sebagai bersamaan dengan aliran kewangan haram,” jelasnya.

Menurutnya, mengaitkan pendedahan yang dibuat oleh ICIJ dan laporan yang dikeluarkan oleh GFI adalah sesuatu yang kurang tepat dan boleh mengelirukan kerana kedua-duanya merupakan organisasi yang berbeza dengan pelaporan yang berbeza.

- SH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo