NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa Facebook tak beroperasi enam jam?




Saat penduduk dunia sedang sibuk melakukan apa yang mereka suka di platform Facebook, WhatsApp, Instagram dan Oculus semalam, tiba-tiba kesemua empat platform ini tidak boleh diakses. Bukan sekejap ya tetapi gangguan terhadap keempat-empat platform ini berlangsung selama enam jam!

Akibatnya, ramai pengguna tidak boleh mengakses akaun mereka dan meluahkan ketidakpuasan hati mereka di laman alternatif termasuk Twitter. Situasi ini menambah lagi kerumitan yang dihadapi pengasas Facebook, Mark Zuckerberg selepas pendedahan mengejutkan berkenaan syarikat oleh pemberi maklumat Frances Haugen dalam rancangan 60 Minutes. Ini menyebabkan saham syarikat merosot sebanyak AS$6 bilion.

Susulan kejadian pada malam Isnin lepas (waktu Malaysia), Facebook dalam satu kenyataan memberitahu gangguan terjadi akibat perubahan tatarajah pada penghala-penghalanya. Ini mengakibatkan gangguan aliran perhubungan antara pusat-pusat data milik syarikat. Facebook turut menyatakan tidak wujud bukti data pengguna mereka telah digodam akibat gangguan berkenaan.

Selain gangguan kepada operasi empat platform dinyatakan, perubahan tatarajah pada penghala Facebook turut mengakibatkan sistem-sistem yang digunakan untuk operasi harian syarikat tidak berfungsi. Ini sekaligus menyukarkan usaha untuk memulihkan kembali perkhidmatan kepada sediakala. Situasi mereka tidak dibantu dengan kekurangan tenaga juruteknik dan jurutera di ibu pejabat mereka berikutan perintah kerja dari rumah (WFH) dan kekurangan tenaga kerja teknikal.

Apabila Facebook kembali beroperasi, sesetengah pengguna mengadu melihat login error code two. Login error code two ini biasanya digunakan oleh syarikat untuk memberitahu terdapat gangguan kepada platform mereka. Gangguan sama turut dialami oleh sesetengah pengguna Instagram dan WhatsApp tetapi masalah ini dijangka diselesaikan dalam tempoh beberapa jam. (Sankaran, 2021)

Sebaik saja Facebook kembali beroperasi, Zuckerberg menulis satu kenyataan pendek permohonan maaf atas apa yang berlaku. Tetapi bagi golongan profesional dan peniaga, kenyataan tersebut seolah-olah menunjukkan beliau acuh tak acuh tentang apa yang berlaku. (Best, Howard dan Morrison, 2021) Walaupun gangguan ini tidak seteruk gangguan pada 2019 yang berlaku selama sehari, ia masih mengganggu pelbagai urusan perniagaan yang menggunakan platform-platfom milik Facebook. (Sankaran, 2021)

Isu gangguan perkhidmatan yang melanda Facebook ini jelas menunjukkan sistem berpusat yang digunakan oleh firma-firma teknologi hari ini sebagai tidak boleh diharap. Matthew Hodgson, CEO dan pengasas Matrix melihat aplikasi berpusat seperti Facebook akan sentiasa digugat oleh gangguan perkhidmatan. Gangguan sebegini sudah pasti mendorong pelanggan termasuk golongan peniaga mencari platform alternatif.

Tambah Hodgson lagi, sistem ternyahpusat dilihat lebih selamat dan boleh diharap kerana jika ada gangguan sekalipun, sistem tersebut boleh bertahan. Ini membolehkan ia dapat mengekalkan komunikasi individu dan perniagaan sekaligus membolehkan mereka terus beroperasi. (Best, Howard dan Morrison, 2021)


RUJUKAN

Howard, Harry, Morrison, Ryan dan Shivali Best. (2021, 5 Oktober). Who sent Facebook dark for SIX hours? Bungled server update is blamed for global outage as technicians are forced to rush to data centre to ‘manually reset’ system – and insider claims WFH and ‘lower staffing due to pandemic’ made problem worse. Daily Mail.

Sankaran, Vishwam. (2021, 5 Oktober). FACEBOOK REVEALS WHAT CAUSED SIX-HOUR OUTAGE HITTING WHATSAPP AND INSTAGRAM SERVICES. The Independent.

Sumber: https://theoutlook.asia/kenapa-facebook-tak-beroperasi-enam-jam

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo