NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kajian persempadanan kawasan pilihan raya tamat 2026




12 OKT : Kajian semula persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tempoh lapan tahun bagi negeri-negeri di Tanah Melayu (semenanjung) akan berakhir pada tahun 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata

bagi Negeri Sarawak pula, tempoh kajian tersebut akan berakhir pada tahun 2023 manakala negeri Sabah akan tamat tempoh pada tahun 2025.

Menurut beliau, urusan Kajian Semula Persempadanan dilaksanakan berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada SPR untuk melaksanakan kajian semula sempadan-sempadan setiap Bahagian Pilihan Raya di Malaysia.

“Ia terbahagi kepada tiga unit berasingan mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.

“Urusan Kajian Semula Persempadanan bermula mengikut keadaan iaitu tamat tempoh tidak kurang lat 8 Tahun daripada tarikh siapnya urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya.

“Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan Kajian Persempadanan Semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat 8 tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya. Namun sekiranya SPR memulakan urusan berkenaan, ianya perlu diselesaikan dalam tempoh 2 tahun,”katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Rasah, Cha Kee Chin menyatakan apakah ada cadangan daripada kerajaan untuk menambahkan kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada Suku Ke-3 Tahun 2021.

Mengulas lanjut berkenaan penambahan kawasan pilihan raya, Wan Junaidi memaklumkan perlembagaan persekutuan perlu dipinda di samping SPR perlu melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula dalam tempoh 2 tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa.

“Secara dasarnya, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan Bahagian Pilihan Raya yang telah ditetapkan kepada mereka. Namun begitu, jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan/kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.

“Setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu bahagian tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain,”tambahnya.– Oleh -AIMAN SADIQ ABDULLAH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo