Responsive Ad Slot

Undi percaya, kenyataan Peguam Negara langgar semangat Perlembagaan - PH

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat sebagai melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Melalui kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH turut beranggapan kenyataan bagi pihak kerajaan itu melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mendesak Idrus meletak jawatan kerana beliau bukan saja derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

"Ia bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu," kata kenyataan itu.

Menurutnya, dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos lalu, baginda bertitah bahawa 'Perdana Menteri yang dilantik oleh baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat'.

Katanya, titah itu turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan keperluan undi percaya dipersetujui semua ketua parti.

"Penting diingatkan peguam negara hadir, menjadi saksi, malah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

"Di manakah logik dan kewarasan peguam negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?.

"Tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang mempunyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia," katanya.

Majlis Presiden PH berkata, undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, iaitu 12 hari selepas Tun Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, iaitu tiga hari selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia berkata, ia juga adalah kali kedua peguam negara derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perkara itu amat mengecewakan, menjadikan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.

Katanya, PH menjunjung titah baginda bahawa undi percaya perlu dikemukakan dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 13 September ini.

Sehubungan itu, katanya, Ismail Sabri tidak harus mengguna pakai nasihat Peguam Negara yang salah jika tidak mahu mengikuti jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebabkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau sentiasa diragui dan dipertikai.

- BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo