NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu sedia laksana Hudud, tunggu isyarat Persekutuan

KUALA TERENGGANU, 15 September – Terengganu bersedia melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) 2002 sebaik sahaja cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebahagian Rang Enakmen hasil pimpinan kerajaan PAS terdahulu telah berjalan mengikut bidang kuasa sedia ada seperti menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

“Kita sedia maklum empat undang-undang yang sekarang diselia di peringkat persekutuan.

“Pelaksanaan ini akan melibatkan kadar populasi 96 peratus Melayu Islam tanpa berkait dengan mereka yang bukan Islam, ini kerana ia merupakan satu ibadah dan tuntutan buat seorang muslim.

“Buat masa kini kita memaksimakan penggunaan peruntukan 356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.

Tambahnya, penerangan menerusi bengkel dan sesi dialog sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai jabatan penguatkuasaan, pendakwaan dan hakim mahkamah Syariah.

“Kita bergerak secara berperingkat dan tahun hadapan pihak kami akan mempertingkatkan pelaksanaan di bawah bidang kuasa bagi memberi pendidikan dan penjelasan buat masyarakat.

“Insya-Allah Terengganu akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan hudud mengikut peruntukkan yang diizinkan dan proses ini sentiasa diteliti bagi mengelakkan konflik dengan undang-undang sivil di peringkat persekutuan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, Terengganu juga sedang menaiktaraf infrastruktur seperti mahkamah Syariah kepada empat lapisan serta kaedah-kaedah teknikal sedang dikemaskini.

Terbaharu, cadangan dua RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke perundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Untuk rekod, RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo