Responsive Ad Slot

Resolusi Kongres Ekonomi Rakyat-12 September 2021



RESOLUSI KONGRES EKONOMI RAKYAT-12 SEPTEMBER 2021


Pendahuluan
Islam sangat menitikberatkan soal ekonomi. Salah satu punca ekonomi yang digalakkan dalam Islam ialah perniagaan.Terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang mengalakkan dan menyarankan umat Islam menjalankan aktiviti perniagaan kerana ianya merupakan satu punca rezeki yang paling banyak.

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis bermaksud: 

“9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” 
(Hadis Riwayat Tirmizi). 

Dalam Hadis yang lain, baginda bersabda yang bermaksud :
“ Peniaga yang boleh dipercayai dan beramanah akan bersama para Nabi, siddiqi dan syuhada di dalam Syurga Allah SWT”(Hadis Riwayat Tarmizi)

Hadith riwayat Abu Hurairah:

“Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat rupa paras kamu dan harta kamu, akan tetapi Dia,melihat kepada hati dan amal perbuatan kamu”.

Disini kita melihat satu formula yang agak mudah yang dianjurkan oleh Islam, iaitu kita perlu menjadi seorang ahli perniagaan yang boleh dipercayai dan amanah. Insya-Allah kejayaan akan menjadi milik kita. 

Mengambil contoh kekayaan dan kejayaan perniagaan yang dijalankan oleh sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdul Rahman bin Auf apabila ditanya tentang rahsianya, beliau menjawab :

“Aku tidak menjual barang-barang yang rosak. Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit, tetapi diberkati”

Walaupun kisah kejayaan beliau telah berlaku lebih dari 1400 tahun yang lalu, namun ianya sentiasa relevan hingga kini. Sebagai umat Islam,kita hendaklah sentiasa yakin apabila kita mengejar akhirat, Insya-Allah dunia juga kita akan dapat.

Justeru untuk mendapat keuntungan di dunia dan akhirat, ahli perniagaan hendaklah mengikut syariat yang telah digariskan oleh Islam dengan mengambil kira soal halal dan haram,perkara yang hak dan batil.  

Sekiranya kita ditimpa musibah dan ujian ketika menjalankan perniagaan, kita jangan terus berputus asa. Hendaklah sentiasa yakin dengan pertolongan Allah SWT. Terus berusaha dan berdoa. Mungkin ini adalah cara Allah SWT hendak membersihkan hati dan amalan kita agar kita beroleh kejayaan yang lebih besar di dunia dan akhirat.Ingat tiada jalan mudah untuk berjaya.  

Antara matlamat kongres ekonomi rakyat (KER) adalah untuk membina rangkaian ekonomi yang saling bekerjasama dan menyokong di antara satu sama lain, yang akhirnya membina satu ekosistem perniagaan yang lestari yang sentiasa mendapat keberkatan Allah SWT. 

Selain itu juga adalah bertujuan untuk mencari jalan bagi menyediakan generasi masa hadapan yang mampu menyahut cabaran untuk menjalankan perniagaan yang berpandukan syariat Islam,seterusnya memberi keuntungan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Justeru itu, ruang Latihan,ilmu dan kemahiran  perlu diperkasakan.

Resolusi Kongres Ekonomi Rakyat
Berikut adalah 8 Resolusi yang telah dihasilkan dalam persidangan sehari pada 12 September 2021 yang diadakan secara atas talian :

1. Membina rangkaian kerjasama  aktiviti ekonomi rakyat yang menuruti syariat Allah SWT sebagai satu Jihad Ekonomi Rakyat (JER) dalam meneruskan kesinambungan program Buy Muslim First (BMF)
2. Membentuk jawatankuasa bertindak bagi mengambil kesempatan daripada peluang aktiviti ekonomi yang disediakan oleh agensi kerajaan dan pelbagai pihak lain yang terlibat dalam bidang ekonomi
3. Membentuk kluster bidang-bidang ekonomi dengan badan-badan NGO yang terlibat dalam bidang ini  disamping menggunakan teknologi terkini IR4.0 seperti Medsos , Virtual Reality dalan lain-lain.  
4. Menubuh eko-sistem ekonomi berkonsepkan halal hub yang bekerjasama dan saling menyokong  di antara satu sama lain bagi mempertingkatkan daya saing produk-produk yang dihasilkan ke pasaran global.
5. Membina koperasi-koperasi ekonomi rakyat yang menggalakkan ahli-ahlinya terlibat di bidang aktiviti ekonomi.
6. Menubuhkan  mekanisma wakaf ekonomi rakyat bagi menyediakan peluang akses kepada latihan dan kemahiran, modal permulaan dan pembinaan infrastruktur ekonomi.
7. Menyediakan jaringan dan mekanisma untuk menggalakkan aktiviti ekonomi rakyat bagi generasi masa depan di negeri dan tempat-termpat terpilih sebagai permulaan.
8. Menggalakkan usahawan ekonomi rakyat mendalami ilmu perniagaan dan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat disamping pengalaman hands-on dalam bidang-bidang terpilih.

Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat
Satu Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat (PTER) yang bersepadu akan dibangunkan berasaskan 8 resolusi diatas secara berperingkat-peringkat dalam bidang-bidang terpilih yang telah dibincangkan dalam 3 sesi bengkel melibatkan Agrotani, SME dan Usahawan Mikro serta Pelancongan.
Sekian

Dikeluarkan bersama oleh:
Prof Anuar bin Ahmad  (Fasilitator Pelan Tindakan Ekonomi Rakyat)  Mohd Shuhaimi bin Embong (Pengarah Kongres Ekonomi Rakyat)
12 September 2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo