Responsive Ad Slot

Kerajaan jamin tiada pilihan raya mengejut: Pembangkang



KUALA LUMPUR - Jaminan kerajaan untuk tidak membubarkan Parlimen atau mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum 31 Julai 2022 antara elemen utama yang membuatkan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.


Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, jaminan itu perlu bagi memastikan setiap perkara yang dijanjikan dalam persefahaman itu dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

"Kita akan berusaha sepenuhnya untuk menangani Covid-19 dan tidak (seharusnya) timbul ada keperluan mendesak untuk adakan pilihan raya secara mengejut.


"Jadi, kita memberikan kestabilan tersebut (dengan tandatangani MoU) dan Parlimen ini akan berfungsi sehingga Julai 2022 iaitu tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai atau berlanjutan sehingga akhir tempoh (penggal)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik selesai menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH di Parlimen, di sini pada Isnin.

Politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU yang dikenali Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/161221/BERITA/Politik/Kerajaan-jamin-tiada-pilihan-raya-mengejut-Pembangkang




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo