Responsive Ad Slot

Raja Muda Selangor nafi terbabit dalam projek Pembangunan HSKLU

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menafikan sebarang hubungan dengan mana-mana pemaju yang terbabit dalam projek pembangunan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU). - Foto Ihsan IG RMSelangor
SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menafikan sebarang hubungan dengan mana-mana pemaju yang terbabit dalam projek pembangunan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

"Beberapa kumpulan percaya saya mendapat manfaat daripada keputusan itu, saya ingin menjelaskan kedudukan saya. Saya tidak mempunyai kaitan dengan Gabungan Indah Sdn Bhd atau sebarang projek pembangunan di HSKLU," titah baginda dalam hantaran di Instagram hari ini.

Hantaran itu merujuk kepada keputusan untuk menyahwartakan separuh daripada HSKLU selaras dengan matlamat pembangunan Selangor ke arah kestabilan sosioekonomi dan kelestarian.

Pada 1 September lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berkata kerajaan negeri masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan hutan simpan itu di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat sebagai hutan simpan kekal.

Menurut jabatan itu, cadangan penyahwartaan hutan simpan tersebut sudah melalui proses yang teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam sejak keputusan mengenainya diterima pada November 2019.

"Kerajaan negeri turut mengenakan beberapa syarat kepada pemaju Gabungan Indah Sdn Bhd termasuk pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesies flora dan fauna yang berkepentingan," katanya.

Tengku Amir Shah juga bertitah, baginda tetap prihatin terhadap alam sekitar dan menyedari bagaimana pembangunan memberi kesan terhadap perubahan iklim yang bukan hanya menjejaskan rakyat Malaysia tetapi juga generasi pada masa akan datang.

"Kita perlu memikul tanggungjawab bersama untuk melindungi dan memulihara sebahagian besar dari kawasan ini. Perkasakan dan lindungilah masyarakat yang tinggal di kawasan itu.

"Bangunkan komuniti yang lebih lestari dengan memiliki rasa empati dan berpandangan jauh. Rakyat Selangor tidak suka melihat ia (HSKLU) pupus.

"Kita rakyat Malaysia ingin memainkan peranan kita untuk planet ini iaitu menebus kembali kesilapan ekologi kita dan memberikan sumbangan yang positif kepada alam sekitar," titah baginda.

–BERNAMA


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo