NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pindaan tarikh persidangan Parlimen dapat perkenan Agong



Pindaan tarikh Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 kepada 13 Sept telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan ini selaras peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Negara.

“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat tersebut Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat mempunyai budi bicara mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Wan Junaidi berkata pindaan berkenaan termasuk tarikh mula persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang kini pada 13 September berbanding 6 Septempber dan tambahan dua hari tempoh persidangan kedua-dua Dewan.

Tempoh persidangan Dewan Rakyat untuk sesi ini kini ini adalah 17 hari berbanding 15 hari, manakala Dewan Negara 14 hari berbanding 12 hari sebelum ini.

Mengikut takwim di laman sesawang Parlimen, Seri Paduka dijadual merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 13 September dengan Dewan Rakyat akan terus bersidang dari tarikh berkenaan sehingga 12 Oktober, manakala Dewan Negara hanya akan kembali bersidang bermula 4 Oktober hingga 21 Oktober.


Wan Junaidi memberitahu, pindaan tarikh berkenaan adalah bagi memberi ruang kepada ahli pentadbiran kerajaan seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri yang baharu mengangkat sumpah untuk menggalas tanggungjawab serta mengenal pasti isu yang perlu diutamakan dalam kementerian masing-masing.

“Pindaan tarikh ini juga dapat memberi masa untuk urusan persiapan Mesyuarat Parlimen dengan susunan Jemaah Menteri baharu dan proses kelulusan draf titah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambahan dua hari berkenaan pula menurutnya, adalah bagi memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan pada hari tambahan berkenaan. – Bernama


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo