Responsive Ad Slot

Lengkap vaksin: Jangan terlalu leka, varian delta masih ganas – Pakar kesihatan


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya mereka yang lengkap divaksinasi tidak harus terlalu selesa dan leka sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta kawalan kendiri bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini berikutan, wabak itu masih merebak malah muncul dengan pelbagai mutasi lebih ganas terutama varian Delta yang diklasifikasikan oleh Pertubahan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC).

Bercakap kepada Bernama, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata rakyat harus faham dan akur walaupun vaksin dibangunkan untuk melindungi diri daripada virus itu, varian Delta masih mengganas bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

“Meskipun kita bakal capai 80 peratus populasi dewasa divaksin atau imuniti kelompok, COVID-19 akan sentiasa ada atau endemik pada paras yang rendah sama seperti penyakit sedia ada yang lain.

“Kita yang divaksin masih berpotensi dijangkiti virus itu, namun kesannya lebih minimum berbanding individu yang tiada perlindungan vaksin. Oleh itu, pematuhan SOP dan kawalan kendiri mesti diamalkan untuk lindungi semua orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata usaha perlindungan terbaik ketika ini bukan sahaja menerusi pengambilan vaksin, malah perlu diperkuatkan dengan disiplin pematuhan SOP serta kawalan kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan mengelakkan kawasan sesak bagi mengurangkan penularan wabak.

Endemik merujuk kepada kejadian kes penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu pada kadar rendah dan stabil. Di Malaysia contoh penyakit endemik adalah demam denggi.

Pada Julai lepas, WHO meramalkan varian Delta yang lebih mudah merebak telah dikesan sekurang-kurangnya di 111 negara, wilayah atau kawasan dan berkemungkinan menjadi strain COVID-19 dominan di seluruh dunia yang menyebabkan peningkatan kes jangkitan serta kematian baharu.

Dr Zainal Ariffin menambah dengan lebih banyak kelonggaran serta pembukaan pelbagai sektor yang diumumkan kerajaan sebelum ini, meletakkan tanggungjawab dan kepercayaan kepada rakyat untuk saling melindungi diri daripada wabak itu.

“Walaupun kita divaksin, masih ada lagi golongan amat berisiko mendapat kesan jangkitan yang parah seperti kanak-kanak, inidividu yang tidak sesuai dengan vaksin serta golongan antivaksin.

“Secara teknikalnya adalah mustahil untuk mendapatkan sifar jangkitan, namun tujuan vaksin ialah mengurangkan penularan dan kesan jangkitan terhadap inidividu,” katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo