Responsive Ad Slot

KKM perlu perinci punca kematian penerima vaksin


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperincikan setiap kematian membabitkan individu yang lengkap vaksinasi pelalian COVID-19 untuk mengetahui punca sebenar membawa kepada kematian itu.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican, berkata KKM perlu menjelaskan jenis vaksin, di mana ia disuntik dan siapa jurusuntiknya, selain mengambil kira tahap kesihatan mangsa ketika dijangkiti.

"Saya nak tahu adakah jurusuntik itu benar-benar diberi latihan sewajarnya untuk melakukan suntikan atau vaksin itu diberikan dengan sempurna.

"Biasanya vaksin adalah sangat selamat. Dulu orang yang memberi vaksin adalah mereka yang sudah dilatih tetapi kini ramai yang boleh memberi vaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 ketika ada laporan membabitkan kematian dalam kalangan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin pelalian COVID-19.

Berdasarkan data COVIDNOW, sehingga semalam, 51.08 peratus daripada 324 kes kematian adalah membabitkan mereka yang sudah mendapat dua dos vaksin dalam tempoh tujuh hari.


Data KKM semalam menunjukkan jumlah kematian COVID-19 yang tidak setara di antara individu yang menerima vaksin lengkap terutama bagi penerima vaksin Sinovac.

Secara keseluruhan, daripada 18,802 kematian yang dicatatkan dalam kumpulan set data itu, seramai 922 (4.9 peratus) individu diberi vaksin lengkap.

Penerima vaksin Sinovac menyumbang 710 daripada 922 kematian ini (77.0 peratus), walaupun penerima merangkumi 51.5 peratus orang yang lengkap divaksin pada 6 September termasuk tempoh 14 hari selepas dos kedua.

Sebagai perbandingan, penerima vaksin Pfizer menyumbang 206 kematian (22.3 peratus).

Dr Mohamed Ismail berkata, perincian itu penting untuk mengetahui sama ada ia benar-benar berkaitan dengan vaksin yang diterima individu atau disumbang oleh masalah kesihatan dihidapi si mati atau faktor lain.

Beliau berkata, KKM juga harus memastikan semua individu yang lengkap menerima vaksin perlu terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Walaupun sudah mendapat vaksin, tidak bermakna individu terbabit tidak akan dijangkiti. Ada sesetengah individu pula tidak menjaga kesihatan diri.

"Jika dijangkiti pun, mereka berkemungkinan tidak mempunyai simptom atau hanya mengalami gejala ringan.

"Justeru, kita perlukan data yang lengkap ini untuk mengetahui apa yang menyebabkan keadaan itu (kematian selepas menerima dua dos lengkap) berlaku," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/862598/kkm-perlu-perinci-punca-kematian-penerima-vaksin

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo