Responsive Ad Slot

Kepimpinan tertinggi PKR NS hilang kepercayaan terhadap Aminuddin

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

Menurut Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan secara bersama pada Ahad, Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

Dakwa mereka, Pengerusi tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

"Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

"Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Beliau juga tidak membuat perancangan bersifat holisitik terhadap perkembangan parti, tiada tindakan atau program pengukuhan dan pemantapan pengurusan parti di peringkat MPN serta cabang, selain tiada sebarang program dalam menyantuni ahli-ahli parti di peringkat cabang dan ranting," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membaca memorandum menolak kepimpinan Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Cabang PKR Rasah, Datuk Ismail Ahmad; Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Datuk Dr S Streram; Ketua Wanita PKR Negeri, Amni dan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yuz Mazmi Ahmad Yusuf.

Dalam kenyataan itu juga, mereka mendakwa Pengerusi MPN tidak menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan parti ini dominan dalam kerajaan negeri.

"Kekecewaan ahli dan hilang kepercayaan ini telah menyebabkan cabang (Parlimen/DUN) gagal membentuk jentera pilihan raya untuk melaksanakan gerak kerja kerana mereka tidak berminat membantu parti.

"Maka, kami percaya jika keadaan ini berterusan PKR Negeri Sembilan akan berisiko besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Bagaimana pun, penerangan PKR Negeri Sembilan tetap komited dan teguh berdiri menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Tambahnya, memorandum menolak kepimpinan Pengerusi MPN Negeri Sembilan ini telah ditandatangani oleh Ketua-Ketua Cabang terlibat dan sayap parti serta AJK tertinggi MPN untuk diserahkan kepada Presiden parti dalam masa terdekat.





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo