NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemaafan dendam yang terindah

Aku mahu berkongsi permohonan maaf Siti Kassim kepada YB Senator Idris Ahmad ini, semalam lagi. Tetapi ada dakwaan mengatakan ia adalah palsu. Jadi aku tangguhkan dahulu. Seperti biasa, aku akan periksa dahulu, sebab kalau terlepas yang palsu, banyak kerja yang kena buat. Nak tarik balik, minta maaf. Kita menulis kemudian kongsi, orang lain membaca, kemudian ada juga yang kongsi. Bahagian aku, tak apa sebab aku akan tarik balik dan minta maaf. Tetapi yang bahagian orang kongsi? 

Ini lah masalah kalau tidak dijaga kebenaran dan kesahihan sumber apabila menulis. Dosa berterbangan. Semua kena ambil kira. Kalau menulis, tetapi bersalahan pendapat yang bukan hukum qate'i, macam pendapat politik atau sukan, tak mengapa. Pendapat kita, ikut suka kita lah. Perspektif kita sentiasa berbeza. Tetapi kalau salah fakta, dapat malu dan dosa. Dan oleh kerana jelas hari ini mesej Siti dibalas oleh Ustaz Idris sendiri, dan ada laporan akhbar mengenainya, maka boleh lah aku menulis berkenaan hal ini.

Ada tiga benda yang pada pandangan aku, yang boleh aku katakan mengenai isu permohonan maaf ini. Pertama dan terutamanya ialah, PAS sememangnya sebuah organisasi yang mengikut ajaran Islam. PAS tidak pernah lokek dari memaafkan musuh. Stok simpanan maaf PAS, sentiasa penuh. Tidak pernah berkurang. Apabila diminta, PAS akan berikan. Malah terkadang, melebihi pula.

Contohnya, apabila Umno mahu mencari bantuan kerana mereka rebah dihentam lawan, mereka mencari PAS untuk dijadikan rakan sekutu. Mereka, melalui Presidennya jelas membuat permohonan maaf dan membilang dosa-dosa mereka kepada PAS. PAS dengan rela hatinya, memaafkan Umno kerana mahu menyelamatkan Islam dan Melayu di Malaysia. 

Luka yang sangat dalam, sakit, bernanah, berparut, namun PAS biarkan sahaja terlindung di bawah pakaian PAS. Dilupakan kesakitan itu, demi menegakkan Islam bersama Umno. PAS membantu Umno dalam semua PRK tanpa gagal. Walaupun Umno Terengganu bertindak jahat dengan enggan meneruskan pertalian persaudaraan atas nama Islam dan Melayu, PAS tidak membangkitkannya sebagai alasan untuk memutuskan hubungan sekutu dengan Umno Pusat. Hubungan dengan pusat ini lebih utama.

Anak-anak syuhada Memali, yang salah seorangnya ialah Adun Penaga, YB Ustaz Yusni Mat Piah yang aku sendiri menemubual beliau sejurus selepas keputusan Muktamar PAS ke 64, di Stadium Tertutup Gong Badak, untuk berkerjasama dengan Umno dengan tenang menyatakan apa sahaja yang pimpinan PAS putuskan bagi kebaikan Islam, beliau akan taat dan bersedia melaksanakannya. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi menjadi senang bagi ahli PAS yang faham agama dan kelebihan memaafkan musuh.

Bagi sesetengah manusia, ia kelihatan bodoh. Buat apa maafkan mereka yang pernah menyusahkan hidup kita? Mereka ingin sekali supaya musuh mereka dilaknat atau diseksa Allah ketika di dunia. Biar puas hati mereka. Namun bagi PAS, Islam mengajar hidup ini ada dua dunia. Kehidupan sekarang yang sementara dan selepas mati, kehidupan yang kekal abadi. Di sana ganjaran memaafkan orang lebih besar lagi. Dan, dari segi politik pula, jika musuh memohon maaf, ia dikira sebagai antara kemenangan moral terbesar PAS. 

Baca lah Perjanjian Hudaibiyah, di dalamnya banyak terselit kisah-kisah bagaimana musuh mengiktiraf Islam secara tidak sedar dan pada suatu waktu, mereka datang ke Madinah kerana terpaksa memohon maaf disebabkan sekutu mereka telah melanggar perjanjian. Rasulullah tidak memaafkan mereka ketika itu, kerana ia melibatkan perjanjian dengan banyak pihak. 

Akhirnya Mekah jatuh ke tangan Islam dengan mudah sekali. Pada waktu ini, baru lah Rasulullah memaafkan semua orang kecuali segelintir mereka. Itu pun ketika sebahagian daripada mereka pulang memohon maaf seperti Ikrimah, beliau dimaafkan. Kemudian, masuk lah musyrikin dalam Islam secara berbondong-bondong. Hikmah yang sangat besar disebalik kemaafan.

Keduanya, untuk kali ini (belum pernah sebelumnya), Siti Kassim mengajar kepada semua musuh-musuh PAS, supaya merendah diri dan memohon kemaafan, jika benar bersalah. Dan selama ini pun, PAS sentiasa difitnah. Akan terlihat jelas kebodohan jika masih tidak mengaku salah setelah terbukti dan dibuktikan bersalah. Jadi Siti Kassim bertindak cerdik kerana menjaga maruahnya. Dan bukan lah perkara sukar untuk memohon maaf, hanya rendahkan sedikit ego itu. 

Ketiganya, perbuatan mulia bermaaf-maafan oleh kedua pihak ini, membuktikan yang kecerdikan mereka tidak dapat diikuti oleh Pan dan juga Umno Terengganu. Pan terus bodoh kerana sudah banyak kali pembohongan dan ejekan mereka kepada PAS dibuktikan salah dengan mereka sendiri menarik balik banyak tuduhan mereka, tanpa meminta maaf. Manakala Umno Terengganu juga bodoh, kerana Islam menyuruh untuk bersatu menentang musuh Islam, tetapi mereka menolak, mahu bermusuh, masih gila mengejar jawatan, lupa masa mereka susah. Sekaligus melawan arahan Umno Pusat, ketua mereka sendiri.

Mohd Nasir Abdullah
7 September 2021


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo