NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid guna alasan COVID-19 serang PN, sindir Menteri UMNO urus krisis


saiful.haizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menasihati semua Ahli Parlimen daripada parti itu yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya menginsafi kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat dalam erti kata sebenar.

Sebagai wakil rakyat, beliau berkata, mereka mesti memberi keutamaan serta mementingkan rakyat, dan bukannya memihak kepada yang mahu mengekalkan penguasaan walaupun didakwa gagal serta membelakangi keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja.

Beliau juga percaya sekarang adalah masa terbaik untuk membuktikan bahawa wakil rakyat daripada UMNO sanggup bersusah payah demi memperjuangkan nasib rakyat.

"Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat hilang nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.

"Malah, sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik di dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu sebulat suara memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan PN serta Muhyiddin yang didakwa gagal di mata rakyat, selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata 31 Ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN sehingga undi percaya dibuat di Parlimen, September depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid meminta Ahli Parlimen terbabit supaya memahami pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa hubungan mereka dengan ahli MKT mesti diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen, mereka sewajarnya lebih terkesan dengan dakwaan kegagalan PN kerana rakyat yang menderita, termasuk ahli UMNO sendiri.

Katanya, ia turut membabitkan ramai pengundi UMNO di kawasan masing-masing yang sudah tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Ahli Parlimen daripada UMNO menunjuk dan membuktikan bahawa mereka berjuang demi rakyat.

"Membuktikan perkara itu adalah mudah, iaitu meninggalkan kerajaan PN yang gagal dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.

"Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini," katanya.

Berita asal : BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo