NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes visa: Perbicaraan 40 tuduhan rasuah Zahid disambung 25 Ogos

Perbicaraan 40 kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersambung pada 25 Ogos di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selepas dua kali ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bersambung pada 25 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 25 Ogos, 1 dan 2 September di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa.

“Pihak pendakwaan akan memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan pada 25 Ogos itu,” katanya memetik laporan Bernama.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

 
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Agendadaily

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo