NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usaha terakhir gagal sebab parti pembangkang tidak jujur

KUALA LUMPUR – Hilang kepercayaan kepada parti pembangkang merupakan antara punca Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meletakkan jawatan esok selepas tidak lagi mendapat majoriti sokongan ahli Parlimen.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Muhyiddin sudah berusaha sedaya-upaya termasuk menghulur cadangan supaya kerajaan PN dapat kekal semata-mata demi menguruskan krisis Covid-19 dan ekonomi.

Beliau berkata: “Selepas tawaran kerjasama rentas pasti dengan parti pembangkang tidak diterima, Muhyiddin dengan ‘gentleman’ bersedia meletak jawatan pada saat beliau boleh sahaja untuk terus kekal berkuasa selagi pembangkang tiada sokongan majoriti.

“Beliau merupakan pemimpin berprinsip, malangnya ramai orang tidak nampak kualiti itu dalam dirinya,” katanya.

Mohd Redzuan mengakui terdapat perbincangan awal antara Muhyiddin dengan beberapa wakil parti pembangkang bagi tujuan kerjasama rentas parti kerana beliau tidak mahu lari daripada tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Persefahaman pada awalnya dicapai dengan wakil-wakil pembangkang namun apabila Muhyiddin mengumumkan tawaran kerjasama rentas parti secara terbuka, ia ditolak pula secara rasmi oleh parti-parti mereka,” kata beliau kepada Sinar Harian.

“Ketika perbincangan diadakan dengan beberapa wakil parti pembangkang, mereka mulakan memohon macam-macam konsesi. Ini termasuklah tuntutan secara berasingan puak ‘kluster mahkamah’ untuk dilepaskan kes mahkamah ahli-ahli Parlimen mereka.

“Perdana Menteri akhirnya cuma mempertimbangkan tujuh perkara untuk dijadikan asas tawaran sebagai usaha terakhir untuk melestarikan pengurusan krisis sedang dihadapi,” kata beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Jumaat lalu menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.

Mohd Redzuan menjelaskan Muhyiddin merasakan tidak lagi yakin dengan pendirian wakil parti-parti pembangkang walaupun sebelum ini mereka mengadakan perbincangan bersama.

“Berikutan kegagalan wakil parti pembangkang menterjemahkan persefahaman awal kepada sokongan sebenar oleh sebahagian ahli Parlimen mereka, maka Muhyiddin tidak lagi percaya pendirian para pemimpin ini yang dianggapnya ‘depan cakap lain, belakang cakap lain’.

“Jadi pertimbangan keputusan meletak jawatan Perdana Menteri adalah perkara terbaik kerana Tan Sri (Muhyiddin) merasakan apabila sudah hilang sokongan majoriti, maka beliau perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan meletak jawatan,” katanya lagi.

Menurut Mohd Redzuan, kesanggupan Muhyiddin menawarkan kerjasama dengan pihak pembangkang demi mengekalkan kerajaan peka krisis Covid-19 ketika ini, membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu seorang negarawan yang berjiwa besar.

Mohd Redzuan berkata, Perdana Menteri itu bukan seorang gila kuasa tetapi merupakan seorang individu berprinsip yang berusaha mengekalkan kerajaan PN yang peka krisis Covid-19 semata-mata demi membantu negara.

– BebasNews


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo