Responsive Ad Slot

UMMAH cadang solusi Putrajaya - Istana negara




Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menekuni dengan penuh sedar dan insaf, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan kenyataan pejabat Perdana Menteri yang semuanya berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, Raja Berpelembagaan, Keluhuran dan Kedaulatan Undang-Undang serta memupuk semangat permuafakatan dan kestabilan negara.

Sayugia juga, sebagai rakyat yang menjunjung dan menumpahkan taat setia kepada raja pemerintah, kerajaan serta negara, sudah pasti sekalian rakyat mendoakan agar sebarang kekhilafan yang berlaku dalam apa jua keadaan dapat segera dirundingi sebaiknya sebagai 'Khilafah' negara yang berjiwa besar bagi kemahslahatan ummah.

Mengheret keadaan sedia ada kepada yang lebih rumit dan parah akan membuka peluang kepada pihak yang lebih rakus untuk berkuasa dengan membaham umat melayu dan Islam. Jangan rakyat dipatuh ular kali kedua dilubang yang sama.

Ummah mendoakan agar segala kemelut dan kerumitan ini dapat diselesaikan dengan segera dan sebaiknya demi mengekalkan kekuatan dan perpaduan ummah, kestabilan negara, kesihatan rakyat serta dapat memulihkan ekonomi negara.

Kesempurnaan hanyalah milik Allah SWT, makhluk pasti tidak sunyi dari kekhilafan, petunjuk dan hidayah jua kita pohon daripada Nya. Sudah pasti 'formula penyelesaian' secara damai sedang dirundingi demi meletakkan kepentingan negara dalam keadaan aman, makmur dan penuh barakah.

UMMAH dan rakyat akan terus memberi ketaatan dan tumpah setia kepada raja pemerintah, kerajaan dan negara tanpa berbelah bagi.

Bermuafakat kita teguh, berpecah robohlah ummah.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

31 Julai 2021a


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo