NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Taliban, Afghanistan, dan perang abadi



Satu imej yang jelas muncul dalam berita kemenangan Taliban menguasai Kabul pada 1996 ialah senjata mereka yang nampak hebat dan tidak menepati gambaran kumpulan ini sebagai kumpulan militan biasa yang mengejutkan bila berjaya merampas Kabul.

Ini satu realiti perang di Afghanistan, yang lama melalui sejarah sebagai sebuah medan penting Perang Dingin. Mujahidin, nama panggilan mudah untuk pelbagai kumpulan yang melawan Soviet, dibantu oleh Amerika Syarikat dan beberapa pihak lain, termasuk Arab Saudi.

Selepas jalan buntu ekoran perebutan kuasa dan masalah dalaman kesan pengunduran Soviet, Taliban mengambil peluang daripada takdir sejarah Afghanistan sebagai medan "the Great Game" apabila menguasai kerajaan Afghanistan.

Taliban pada masa itu belum lagi dimunculkan dan dimainkan imej sebagai "fundamentalis" dan ekstremis Islam. Ia menjalankan urusan perniagaan seperti biasa dengan negara luar termasuk AS.

Politik meletakkan imej Taliban sebagai satu simbol kemunduran dan kegasaran Islam hanya muncul kemudian, dan dikukuhkan oleh kenpen "perang melawan terorisme" dimulakan George W Bush.

Taliban dapat digunakan untuk dua tujuan utama yang penting bagi AS bagi mengukuhkan dominasinya dalam orde antarabangsa. Pertama sebagai simbol menunjukkan ancaman kepada "nilai-nilai dan cara hidup masyarakat bebas," hingga nama Taliban (dan istilah talibanization) muncul dalam wacana politik melibatkan Islam di seluruh dunia.

Kedua sebagai alasan untuk tentera AS berada di Asia Tengah, di negara berdekatan Iran, India, Pakistan, China, dan berada di kawasan pengaruh Rusia. AS dan Nato - yang dibawa masuk hasil klausa keselamatan bersama - menempatkan diri di tengah-tengah kawasan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (sebelum itu kumpulan Lima Shanghai) dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO.

Cerita kemasukan dan penguasaan Taliban di Kabul ini bukan satu cerita hari ini semata-mata, tetapi hanya titik terbaru dalam sejarah Asia Tengah dalam permainan agung kuasa-kuasa besar, dan dalam fasa terbaru sejarahnya, rentetan daripada perkembangan sejak Taliban mengambil haluan baharu sejak hampir sedekad lalu.

Secara mudahnya, lima tajuk di bawah menerangkan perkembangan terbaru di Afghanistan melibatkan Taliban ini, yang kini tidak dapat dielakkan daripada diterima sebagai pemerintah baharu Afghanistan.

1. Ideologi dan politik

Taliban sangat mudah dikaitkan dengan politik, dengan satu aliran keras dalam Islam, dan dikaitkan tindakannya dengan ideologinya. Ini sebahagiannya benar.
 
Walau bagaimanapun, segala imej ini menenggelamkan pragmatisme kumpulan ini, yang pada awalnya mengharapkan kemasukan pelaburan AS, dan setelah ditewaskan AS - dengan bantuan Iran - menerima bantuan Iran untuk berdepan tentera AS.
 
Walaupun imejnya sebagai sebuah kumpulan insurgen amat kuat, hakikatnya, secara strukturnya, Taliban sebagai kumpulan majoriti Pashtun, dan sebagai kumpulan politik paling berkeupayaan di Afghanistan meletakkannya di satu tempat yang kukuh, yang biasa kurang diiktiraf banyak pihak.

2. Islam dan Islamofobia

Dalam suasana 11 September, 2001, Taliban muncul dalam wacana politik dunia sebagai simbol penentangan terhadap standard moden, demokrasi, dan hak asasi manusia.

Pada masa itu, kumpulan politik Islam dihadapkan dengan soalan sama ada Islam boleh wujud bersama dengan demokrasi. Feminis Barat memulakan satu kempen agresif dengan menjadikan Taliban sebagai model.

Dalam industri Islamofobia global, Taliban menduduki posisi terunggul, sekali dengan kemunculan al-Qaeda dan Osama bin Laden. Reaksi Barat kepada penguasaan Taliban kini memberi gambaran, beban orang kulit putih ini muncul sekali lagi.

3. Persaingan kuasa asing negara sekitar

Negara dikenali pusara empayar ini sepanjang sejarah tidak pernah sunyi daripada penglibatan dan campur tangan asing. Iran, Pakistan, India, dan China merupakan negara serantau yang bersaing kuat untuk memastikan pengaruh mereka dibina dan dikukuhkan di Afghanistan.
 
Kemudian, ia menjadi medan persaingan geopolitik AS dengan Kesatuan Soviet.

Hari ini, China mahu mengukuhkan hubungan dengan Afghanistan melalui Taliban, untuk pelbagai tujuan termasuk kepentingan geoekonomi dan usaha menangani gerakan kemerdekaan Turkistan Timur.
Persaingan ini memberi tanda keadaan masa depan yang tidak mudah bagi Taliban dan Afghanistan.

4. Diplomasi dan hubungan luar: Qatar

Satu fakta yang mungkin jarang dimunculkan ialah peranan dan pengaruh Qatar di Afghanistan, hasil kerjasama (dan mungkin juga naungan) dengan Taliban sejak sekitar sedekad lalu, apabila Taliban menubuhkan pejabat di Doha.
 
Ini bermakna satu dimensi diplomasi dan juga persaingan antara kuasa-kuasa dunia Islam, kerana penglibatan Qatar akan mendorong pesaing Qatar untuk turut terlibat.

Taliban kali ini boleh memanfaatkan hubungannya dengan Qatar - yang cukup berpengaruh hingga mendorong pemerintahnya menegur Taliban agar tidak melakukan kekerasan semasa menguasai Kabul - dan juga AS yang sudah lama terlibat dalam rundingan dengan kumpulan berkuasa di Afghanistan ini.
Qatar kini mempunyai kedudukan yang agak kukuh untuk terus mengambil manfaat daripada hubungan dengan Taliban.

5. Peranan AS

Satu lagi perkara yang penting berkaitan peranan AS ialah kesinambungan "perang melawan terorisme" Bush yang diteruskan Barack Obama. Tahun Obama mengambil alih jawatan presiden AS, serangan dron di Afghanistan, Pakistan, dan Yaman meningkat mendadak.
 
Sepanjang tempoh Obama sebagai presiden, perang dron menjadi topik utama dalam perang melibatkan AS di seluruh dunia. Faktor ini boleh dikatakan menyumbang kepada tindakan Taliban melawan, dan mempelbagaikan pendekatan demi kelangsungan hidup.

Bekas Presiden Donald Trump dikira betul apabila mempersalahkan Joe Biden, yang sebenarnya menanggung beban daripada tindakan Obama meningkatkan serangan di Afghanistan dan meningkatkan jumlah tentera AS di sana satu masa dulu.
 
Walaupun sudah berundur, AS tidak meninggalkan Afghanistan sepenuhnya. Afghanistan yang strategik ini - yang kini semakin terdedah kepada pengaruh kuasa-kuasa lain termasuk China - kekal dalam perhatian Washington. Semua hal utama dalam dasar luar AS masih ligat di medan persaingan kuasa di Afghanistan.

https://www.facebook.com/hariszalkapli/posts/10159937837126522

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo