Responsive Ad Slot

T4liban yang beristiqamah dan berubah

Minda Presiden PAS

T4L1BAN YANG BERISTIQAMAH DAN BERUBAH

Perkataan T4L1ban dalam bahasa Pashto bererti pelajar, dikenali dengan kumpulan pelajar agama. Kumpulan ini ditubuhkan oleh Almarhum Mulla Umar Mujahid (1959-2013) bersama rakan-rakannya di wilayah Kandahar yang terletak di selatan Afghanistan. Beliau dibaiah menjadi Amir (Ketua) T4L1ban pada tahun 1994.

Mereka ialah kumpulan pelajar agama yang mengikuti sistem pengajian Deoband di India yang bermazhab Hanafi. Institusi pengajian yang mengikut sistem lama, sepertimana sistem pondok di Malaysia yang lebih khusus kepada Mazhab Syafi‘i sahaja berdasarkan pegangan penduduk setempat. 

Pada awalnya, mereka menyertai perang untuk berjihad menentang tentera Soviet yang menceroboh negara Afghanistan. Kemudiannya perjuangan mereka berubah kepada tindakan menentang isu keruntuhan moral dan jenayah yang merebak di wilayah Kandahar. Khususnya apabila pihak Mujahidin tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan selepas pengunduran tentera Soviet.  

Kumpulan T4L1ban seterusnya dituduh terlibat dalam perang proksi yang dicetuskan selepas pengunduran Kesatuan Soviet (Soviet Union), tuduhan yang digunakan oleh Agensi Perisik Pusat (CIA). Begitu juga terdapat tuduhan yang digunakan oleh perisikan Pakistan bagi menentang kumpulan Mujahidin, apabila T4L1ban membebaskan mereka setelah ditawan oleh satu kumpulan Mujahidin. Walau bagaimanapun, pihak T4L1ban menafikan dengan sekeras-kerasnya semua tuduhan itu. 

Apabila mereka memenangi pertempuran pada peringkat awal, mereka bertindak memaksa Mazhab Hanafi yang asal diamalkan. Sehinggalah mereka mewajibkan kaum lelaki supaya berjanggut dan tidak membenarkan golongan wanita bersekolah dan pelbagai tindakan yang lain lagi. 

Justeru, pihak media Barat menggunakan isu ini bagi memburukkan Islam, tanpa mengkaji ajaran Islam secara menyeluruh. Tambahan lagi, dengan penyebaran berita palsu yang mengatakan kononnya kumpulan T4L1ban berniaga dadah, suatu berita yang tidak masuk akal terhadap kumpulan yang keras berpegang dengan agama. Sebenarnya apa yang berlaku adalah kumpulan bukan Islam yang datang untuk berniaga dadah, lalu mereka memarahi T4L1ban kerana mengharamkannya dengan keras.

Kini, setelah kumpulan T4L1ban sekali lagi berjaya mencipta sejarah di Afghanistan dengan mengalahkan tentera Amerika Syarikat yang akhirnya terpaksa berundur, tiba-tiba berlaku suatu perubahan dalam pendekatan mereka. Antaranya ialah mengisytiharkan pengampunan secara beramai-ramai terhadap kakitangan kerajaan yang sebelum ini berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat.

Selain itu, mereka juga mengambil pendekatan meraikan terhadap kepelbagaian masyarakat di Afghanistan yang terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai qabilah, suku kaum, mazhab Sunni dan Syiah. Sekalipun mereka mempunyai majoriti kaum Pashtun beraliran Sunni yang bermazhab Hanafi. 

Perkara yang sangat menarik ialah mereka terus beristiqamah dan berjuang untuk menegakkan Islam. Kini wujudnya kepimpinan para ulama’ yang mendalami mazhab Hanafi dan perkembangan politik semasa, iaitu kalangan mereka yang memahami keadaan semasa.

Mazhab Hanafi konsepnya sama sahaja dengan mazhab yang lain dalam Islam. Ia merupakan suatu mazhab yang bersikap tegas dalam perkara rukun iman dan Islam, iaitu dalam perkara yang dinamakan dengan ‘thawabit’ (aspek prinsip yang tetap). 

Adapun dalam perkara yang fleksibel atau anjal untuk berijtihad, ia dinamakan dengan perkara ‘mutaghayyirat’, aspek yang mengalami perubahan situasi dan realiti masyarakat. Islam membenarkan para ulama’ untuk berijtihad dalam konsep Islam adil terhadap semua dan tiada paksaan dalam beragama. 

Dalam mazhab Hanafi, terdapat ulama’ mujtahid yang berbeza pendapat dengan pengasas mazhab iaitu Imam Abu Hanifah RH kerana wujudnya perubahan situasi dan realiti masyarakat. Antaranya ialah Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani RH, seorang ulama’ yang pakar dalam perundangan Islam dan merupakan pengarang beberapa buah kitab yang terkenal seperti al-Mabsut, al-Sair al-Kabir dan lain-lain. Dalam pada itu, beliau juga pernah bergurukan Imam Malik bin Anas RH, manakala Imam al-Syafi‘i RH pula pernah berguru dengannya. 

Seorang lagi ulama’ mujtahid dalam mazhab Hanafi ialah Imam Abu Yusuf yang menjadi Ketua Hakim (Qadhi al-Qudhat) negara pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid RH. Beliau mengarang kitab al-Kharaj (khusus dalam bidang kewangan dan hasil perbendaharaan negara). Banyak dinyatakan hukum-hukum yang menangani dan mengurus masyarakat majmuk dengan adil. 

Selain itu, Sultan Aurangzeb Alamgir (putera kepada Sultan Shah Jahan dan Permaisuri Mumtaz yang terkenal dengan Taj Mahal) merupakan seorang sultan yang alim telah mengerahkan para ulama’ untuk mengarang kitab al-Fatawa al-Hindiyyah, sebuah kitab besar dalam mazhab Hanafi. Sewaktu pemerintahannya, berlaku kemajuan yang pesat dan perkembangan Islam di benua India. 

Barangkali kita tidak lupa bagaimana seorang wartawan wanita dari England yang dibebaskan oleh T4L1ban, kemudian dia masuk Islam kerana melihat kebaikan Islam yang ditunjukkan oleh T4L1ban. Hal yang tersebut terjadi setelah berlakunya perubahan kepimpinan T4L1ban daripada para pelajar yang tidak matang, kepada kepimpinan para ulama’ yang benar-benar mendalami hukum Islam.  

Walaupun media Barat dan media tempatan yang menjadi jari-jemarinya, telah bertindak menguar-uarkan aspek negatif dengan membesar-besarkan langkah pelajar T4L1ban pada peringkat awal kemunculan mereka. Namun begitu, langkah terkini iaitu proses rundingan yang dilaksanakan dengan lebih bijak bagi menghadapi wakil-wakil diplomat Amerika Syarikat, telah menunjukkan kepintaran mereka dalam menghadapi pihak lawan. Sehingga akhirnya mereka berjaya menawan ibu negara Afghanistan, bandar Kabul dengan aman. 

Adapun kekacauan yang berlaku di lapangan terbang Kabul ialah ketakutan kumpulan yang pernah berkhidmat dengan rejim lama yang dibayangi oleh Amerika Syarikat. Mereka mahu melarikan diri dengan bersikap gelabah, walaupun pemerintah T4L1ban telah mengisytiharkan pengampunan secara beramai-ramai.

Antara yang menarik juga ialah mereka mengharamkan tindakan membalas dendam dan mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, sehingga ada yang dilibatkan dalam perubahan kerajaan. Sebagai contoh, Hamid Karzai yang merupakan mantan Presiden Afghanistan di bawah penaklukan Amerika dan juga Gulbuddin Hekmatyar yang juga musuh bagi puak T4L1ban. 

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sendiri memuji tindakan T4L1ban yang telah membantu bagi melancarkan pengunduran tentera Amerika Syarikat. Termasuklah bantuan pihak T4L1ban dalam proses pemindahan pelarian yang mahu keluar dari Afghanistan, yang terdiri daripada kalangan puak liberal dan mereka yang terpengaruh dengannya. 
  
Inilah langkah yang diambil daripada teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, apabila Baginda SAW berjaya membebaskan Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Makkah). Rasulullah SAW bersabda kepada musuh-musuhnya:

اذْهَبُوا فَأَنْتُمْ الطُّلَقَاءُ.

“Pergilah kalian dengan bebas! Kalian semua telah diampunkan.”

Bandingkanlah tindakan balas dendam yang dilakukan menerusi Revolusi Perancis, Revolusi Rusia (Soviet), Revolusi Amerika Syarikat, Revolusi England dan lain-lain yang memakan korban pembunuhan manusia secara beramai-ramai. 

Umat Islam diharamkan daripada terpengaruh dengan media fasiq (media jahat). Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: 

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian orang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah dengan teliti (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan ke atas suatu kaum dengan musibah disebabkan kejahilan kalian (mengenainya). Sehingga menyebabkan kalian menyesali atas perbuatan yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Berilmulah dengan rujukan Islam yang sah, janganlah berpandukan kepada media yang menyebarkan berita yang salah dan jahil.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Muharram 1443 / 25 Ogos 2021


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo