Responsive Ad Slot

Siti Sarah ditidurkan, selamat lahirkan anak petang tadi secara pembedahan - Shuib

Shuib Sepahtu bersama isteri, Siti Sarah Raisuddin
KUALA LUMPUR: Berdepan ujian getir, Shuib Sepahtu yakin isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang ditidurkan berikutan masalah tahap oksigen rendah, kuat untuk bertarung dan kembali ke pangkuan keluarga.

Shuib berkata, Siti Sarah yang melahirkan anak bongsu mereka secara pembedahan, petang tadi, adalah insan yang kuat.

"Isteri saya kuat... Saya cukup yakin dia akan balik ke rumah. Anak-anak semua mendoakannya.

"Insya-Allah, berkat bacaan surah Yasin malam ini, diharapkan Allah mengangkat doa kita semua dan Siti Sarah akan sihat.

"Kita juga doakan untuk semua yang berjuang dapat melawan jangkitan COVID-19.

"Kita tahu di luar sana ramai yang mengalami situasi sama," katanya pada majlis bacaan surah Yasin dan doa selamat untuk Siti Sarah secara virtual, malam tadi.

Turut serta pada majlis bacaan surah Yasin itu adalah pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan rakan selebriti seperti Liza Hanim, Lah Ahmad, Bob Yusof, Syafiq Naser dan Aliff Iskandar.

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad memohon agar memaafkan isterinya jika dia pernah menyakitkan hati mana-mana pihak.

"Saya mohon maafkan segala apa yang dilakukan... Sama ada dia menyakitkan hati sesiapa, ampunkan dirinya dan halalkan makan minumnya.

"Semoga dengan memaafkan isteri saya, ia dapat memudahkan perjalanannya... Insya-Allah," katanya.

Shuib tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pengalaman sepanjang 10 tahun mengenali isterinya.

Shuib mengaku Siti Sarah adalah kekuatannya.

"Saya reda dengan ujian Allah ini. Saya yakin dengan setiap ujian yang saya lalui, ada kebaikannya. Saya sudah lalui macam-macam ujian dengan Sarah, dialah orang yang menjadikan saya kuat.

"Sepuluh tahun saya kenal Sarah, dia sebenarnya yang mendewasakan saya. Apa yang saya ada dan di mana saya sampai sekarang, bukan sebab saya, semuanya kerana Sarah. Dialah yang banyak mendoakan.

"Memikirkan apa yang sudah Sarah buat, saya reda untuk terima apa saja yang akan jadi selepas ini. Walaupun ia tidak baik, itulah yang terbaik Allah hendak bagi pada saya," katanya.

Shuib berkongsi nama putera bongsu mereka yang selamat dilahirkan petang tadi iaitu, Ayash Affan. Nama itu dikatakan dipilih Siti Sarah.

Kira-kira jam 5 petang tadi, Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki selepas menjalani pembedahan.

Siti Sarah yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dimasukkan ke hospital, Rabu lalu, berikutan tahap oksigen yang tidak stabil.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah, suami bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif. Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas kuarantin 14 hari.

Sumber : BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo