NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pusat Racun Negara terima dua kes keracunan Ivermectin


KUALA LUMPUR: Pusat Racun Negara menerima dua kes keracunan akibat pengambilan ubat antiparasit Ivermectin secara rawatan kendiri tanpa saranan dan kawalan pihak hospital.

Dalam satu kenyataan, Pusat Racun Negara memaklumkan kes keracunan itu membabitkan seorang individu dewasa berusia 35 tahun, yang mengalami kesan sampingan sesak nafas berpanjangan selepas mengambil satu pil Ivermectin.

Katanya, satu lagi kes keracunan pula membabitkan seorang warga emas yang tidak sedarkan diri selepas menelan 15 pil Ivermectin sekali gus.

Lebih membimbangkan, Pusat Racun Negara memaklumkan tiada antidot atau rawatan khusus untuk kes keracunan akibat pengambilan Ivermectin buat masa ini.

"Pusat Racun Negara telah mula menerima kes keracunan Ivermectin sejak kebelakangan ini. Kes pertama membabitkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil satu biji Ivermectin.

"Akibatnya, pengguna itu telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.

"Kes kedua pula, seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini, yang turut dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut, Pusat Racun Negara menegaskan, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Bagaimanapun, Pusat Racun Negara mendapati terdapat aktiviti penjualan ubat antiparasit haiwan itu secara tidak sah sedang berlaku.

"Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

"Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian.

"Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri," katanya.

Pada 16 Mei lalu, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, import dan penggunaan Ivermectin di Malaysia hanya diluluskan bagi tujuan percubaan klinikal, dan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia untuk kegunaan manusia.

Dalam sesi penggulungan di Parlimen pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keputusan kajian klinikal berhubung keberkesanan Ivermectin merawat pesakit COVID-19 akan diketahui bulan depan.

Menurut Dr Adham, kajian dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy on COVID-19 High Risk Patient, sedang dijalankan di beberapa hospital kerajaan dan dijangka membabitkan 500 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan bergejala ringan.

BH sebelum ini melaporkan pakar farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ernieda Md Hatah sebagai berkata, penggunaan Ivermectin secara boleh menyebabkan pesakit berdepan kesan sampingan serius jika terlebih dos, seperti pendarahan pada mata, hilang penglihatan, sesak nafas, tidak boleh mengawal kencing, diarea, kekeliruan, sawan, koma dan kerosakan pada hati, selain kesan ringan seperti muntah dan ruam.

Ernieda berkata, hanya ada enam kajian berwibawa berkaitan keberkesanan Ivermectin bagi menghalang kematian dalam kalangan pesakit COVID-19, namun semua enam kajian itu tidak menunjukkan ia berkesan dalam mencegah kematian.

Selain itu, hanya ada tiga kajian berwibawa mengenai kemampuan Ivermectin mencegah COVID-19, dan hasilnya juga tidak menunjukkan ia dapat mencegah wabak itu.

Antara persoalan berhubung penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 adalah kesan kepada pesakit komorbiditi, kadar dos yang sesuai, tempoh penggunaan serta kesan jangka panjang ubat itu kepada organ dalaman pesakit.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo