Responsive Ad Slot

Projek integrasi padi, udang galah bantu pesawah

Ronald melepaskan benih udang galah ke dalam sawah di Seberang Perak. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEBERANG PERAK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan projek rintis integrasi tanaman padi dengan ternakan udang galah bagi meningkatkan pendapatan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata projek rintis itu dilaksanakan di Seberang Perak oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan kerjasama syarikat Thirty Three Management Sdn Bhd.


Beliau berkata, ia membabitkan tapak seluas lebih satu hektar dengan nisbah pembahagian 70 peratus tanaman padi dan 30 peratus lagi adalah ternakan udang galah.

"Projek ini berupaya membantu menambah pendapatan pesawah daripada hasil tanaman padi dan ternakan udang galah. Tanaman padi akan diusahakan selama tiga bulan, manakala ternakan udang galah pula lima bulan.

"Projek sama juga dirancang bakal diusahakan di kawasan IADA Pekan dan IADA Rompin, Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di FELCRA Seberang Perak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pesawah terbabit dijangka meraih pulangan dianggarkan lebih RM10,000 menerusi jualan hasil tanaman padi dan ternakan udang galah bagi keluasan satu hektar.

Katanya, ia berbanding hanya jualan hasil tanaman padi dianggarkan purata kira-kira RM5,000 pada keluasan sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 140 hektar sawah di kawasan FELCRA Seberang Perak sedang diusahakan bawah program SMART SBB.

Katanya, ia adalah salah satu inisiatif MAFI bagi mempertingkat Tahap Sara Diri (SSL) beras negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), iaitu sebanyak 75 peratus.

Beliau berkata, inisiatif SMART SBB dijangka meningkatkan pendapatan pesawah sebanyak 47 peratus atau RM2,521 per hektar semusim berbanding kaedah sebelum ini.

"Di kawasan FELCRA Seberang Perak, FGV Integrated Farming Holdings Bhd sebagai salah sebuah syarikat peneraju, akan memfokus penanaman padi wangi MRQ76.

"Padi itu adalah keluaran MARDI dengan kerjasama IADA Seberang Perak dan FELCRA Plantation Services Sdn Bhd yang memberi pulangan tinggi, iaitu RM1,540 per tan metrik berbanding padi putih yang dijual RM1,200 per tan metrik.

"FGV Holdings Berhad turut membangunkan sistem Fragrance Rice Fortified Field (3FR) yang direka khusus bagi pesawah melalui pertanian kontrak," katanya.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan semua program input dan output pertanian bersubsidi bagi menyokong industri padi dan beras, termasuk Insentif Benih Padi Sah, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi, Skim Baja dan Racun Padi Bukit, serta Skim Subsidi Harga Padi, menerusi peruntukan RM1.57 bilion dalam Belanjawan 2021 kepada MAFI.

MAFI juga akan memastikan operasi keseluruhan rantaian aktiviti pengeluaran padi dan beras negara tidak terjejas sepanjang pelaksanaan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo