Muhyiddin Yassin adalah seorang 'cancer survivor' yang mempunyai perspektif yang sangat berbeza dengan ahli politik lain. Beliau memimpin Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu membuat keputusan keluar dari Pakatan Harapan ketika Dr Mahathir sendiri tidak bersetuju.
Pada Februari 2020 beliau dianggap hero kebanyakan orang Melayu yang telah marah, benci dan menyampah dengan kerajaan Pakatan Harapan. Orang Melayu sudah letih berdemontrasi dan berdoa akhirnya diberi berita gembira kejatuhan Pakatan Harapan.
Muhyiddin tidak merancang menjadi Perdana Menteri akhirnya diangkat juga setelah Dr Mahathir gagal mendapat sokongan mencukupi.
Beliau mewarisi tampuk kepimpinan ketika pandemik dan kerajaan yang rapuh. 114 orang yang menyokong beliau datang dari tidak kurang 10 fraksi atau puak - Bersatu Ansar (Muhyiddin), Bersatu Muhajirin (Hamzah), kumpulan Azmin Ali, UMNO Hishammuddin, UMNO Zahid, UMNO Najib, Pas, GPS, MCA, dan MIC.
Ini kali pertama seorang Perdana Menteri terpaksa menguruskan negara dalam keadaan terpaksa memenuhi kehendak politik pelbagai pihak, hanya untuk memastikan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik.
Sudah tentu ramai menyalahkan beliau atas pelbagai masalah negara dan peribadi masing-masing. Dan sememangnya itulah tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh mana-mana Perdana Menteri.
Dalam keadaan krisis sememangnya Perdana Menteri dan kabinet akan menerima kritikan dan cercaan kerana semua orang ada formula tersendiri yang memuaskan hatinya tetapi tidak mungkin melihat dari sudut keseluruhan negara.
Hakikatnya dalam keadaan sentiasa diugut dengan agenda untuk menjatuhkannya sejak Oktober 2020, Muhyiddin dan pasukannya masih mampu terus memimpin negara ini, menyediakan rawatan kepada jutaan pesakit Covid-19 dan menguruskan vaksinasi yang kini mencecah hampir 50%.
Pengkritik beliau akan sentiasa mencari kelemahan bukan melihat dari keseluruhan usaha kerajaan menyelamatkan rakyat dan negara.
Di sesetengah negara maju, sistem kesihatan dan ekonomi mereka lumpuh akibat pandemik ini. Namun di negara ini kita tidak pernah terjadi perkara sedemikian walaupun sentiasa dikritik kerana perubahan SOP.
Jika esok Muhyiddin meletak jawatan, beliau boleh berbangga bahawa kabinetnya telah membuat sehabis baik bagi menyelamatkan sebuah negara kecil ini.
Ia bukan sahaja dari sudut kesihatan tetapi juga ekonomi negara. Beratus bilion ringgit, berjuta-juta rakyat dan ratusan ribu industri kecil dan sederhana menerima bantuan kerajaan.
Jika Muhyiddin jatuh ia bukan kerana gagal membantu rakyat, tetapi lebih kepada 15 orang ahli Parlimen dan MKT UMNO berpendapat inilah masanya jika mahu menjatuhkan Muhyiddin.
Kebimbangan mereka jika 3-4 bulan lagi, Muhyiddin akan diingati kerana berjaya memimpin negara ini keluar dari pandemik, bukannya angka jangkitan dan kematian tinggi.
Namun itulah politik. Ia satu putaran ganas yang sukar difahami oleh rakyat biasa yang tidak berada dalam permainan ini.
Ab Jalil Backer
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment