Responsive Ad Slot

PM buat tindakan berani - Abang Johari

Kuching: Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan usul undi percaya pada Sidang Dewan Rakyat, September ini bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri sebagai tindakan yang cukup berani.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, ia kerana keputusan itu menunjukkan Muhyiddin bersedia menerima akibatnya jika beliau gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Menurutnya, kerajaan Sarawak menghormati pendirian Muhyiddin itu yang disifatkannya sebagai tindakan bijak untuk meredakan ketegangan politik ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Dalam hal ini, kami (kerajaan Sarawak) menyokong penuh pendirian Perdana Menteri untuk membawa usul ke Dewan Rakyat dan yakin beliau mempunyai sokongan majoriti.

"Ini adalah keputusan yang baik untuk menyelesaikan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang," katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Bantuan Khas Sarawakku Sayang 7.0 (BKSS 7.0) dan Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 di sini, hari ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, keputusan Muhyiddin itu tepat kerana kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan.

"Keduanya, penggal Dewan Rakyat kini kurang daripada dua tahun, jadi kenapa pihak yang mendesak itu tidak mahu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita tidak mahukan kerajaan yang terumbang ambing (dalam menangani pandemik)," katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, GPS sudah menetapkan pendirian bahawa Malaysia harus mempunyai kerajaan yang stabil dalam menangani pandemik Covid-19.

Justeru, katanya, GPS akan terus memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk menerajui pentadbiran negara dan usul percaya yang akan dibawanya ke Dewan Rakyat bulan depan menepati Perlembagaan negara.

- HM



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo