NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH perlu tukar strategi baru selepas gagal jatuhkan PN



Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad (kanan) dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, ditemui media di perhimpunan protes penundaan sidang Parlimen pada Isnin (2 Ogos). - Foto AFP/ARIF KARTONO

Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan rombakan besar-besaran barisan kepimpinan apabila Anwar Ibrahim gagal dalam persaingan mendapatkan kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, selain gagal menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kepimpinan PH boleh dipertanggungjawabkan sebagai menggembalikan Umno kepada kerusi perdana menteri dengan pelantikan naib presiden parti itu, Ismail Sabri Yaakob.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, kepimpinan Anwar selaku ketua pembangkang dilihat goyah apabila kenyataan awal beliau memiliki sokongan yang kuat dan meyakinkan hanyalah satu retorik semata-mata.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar
“Apabila diberi peluang sebegini terbuka, ternyata angka tidak menyebelahi beliau untuk menduduki kerusi perdana menteri,” kata Hisommudin yang sudah lama mengikuti perkembangan politik PH kepada MalaysiaNow.

“Kini, terpulang kepada rakan-rakan beliau di dalam blok pembangkang adakah masih melihat beliau masih berbisa untuk dipertaruhkan lagi sekali sebagai calon PM setelah rekod kegagalan berulang kali berlaku.”

PH pada bulan lepas mengerahkan segenap tenaga bagi menumbangkan kerajaan PN sehingga mengingkari SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat mereka berhimpun di Dataran Merdeka.

Mereka memprotes penutupan kompleks Parlimen berikutan kes Covid-19 yang dikesan di bangunan itu.

Anwar pada 29 Julai mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin dalam usaha menumbangkan PN, namun gagal menjatuhkan ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Muhyiddin hanya meletakkan jawatan selepas penarikan sokongan oleh kumpulan Umno 15 yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sebelum itu, Muhyiddin juga menawarkan kerjasama rentas parti dengan tawaran yang bakal menyaksikan reformasi institusi berlaku di Malaysia seperti jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Hisommudin berkata, Anwar tiada pilihan kecuali mengeluarkan kenyataan untuk memfokuskan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun timbul persoalan adakah ahli Parlimen Port Dickson itu tidak serik dan masih mahu menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun katanya, sekiranya PH ingin beralih arah dan mengemukakan wajah lain sebagai “poster boy” mereka, masalah tetap akan timbul memandangkan pemimpin pelapis yang kuat tidak dibina gabungan itu.

“Ketika ingin mengambil alih kerajaan, ternyata mereka amat terikat kepada faktor Anwar. Pilihan kepada ikon lain seakan tiada kekuatan dan keyakinan.

“Bertitik tolak dengan episod kegagalan ini, PH Plus ternyata perlu membina barisan kepimpinan yang mampu menggantikan generasi sekarang,” katanya merujuk kepada kerjasama Ph dengan parti pembangkang lain seperti Warisan dan Pejuang.

Dapatan itu turut diperakui oleh Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun yang bersetuju bahawa presiden PKR itu harus direhatkan.

Katanya, sudah tiba masa untuk Anwar mengambil kedudukan seperti “penasihat kanan” PH.

“Saya tidak nampak ada individu yang boleh menandingi reputasi beliau, tapi ada beberapa pemimpin kanan yang lebih muda daripada parti-parti komponen yang boleh mengambil tampuk kepimpinan secara kolektif.

“Dari PKR, anaknya (Nurul Izzah), Fahmi Fadzil dan Rafizi, dan dari DAP boleh kemukakan Anthony Loke,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, menggantikan Anwar dengan muka baru bakal menyegarkan semula PH.

Hisomuddin menambah, lapisan baru kepimpinan perlu diberi ruang untuk meneroka dan menawarkan diri memimpin blok pembangkang dalam persiapan bagi PRU15.

“Jika Anwar masih enggan, rakyat sudah tahu apa natijah dan keputusan dalam pasca pilihan raya nanti,” katanya.

Tahun lalu Anwar cuba menjatuhkan Muhyiddin pada September dengan mendakwa mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan, namun tidak berjaya selepas gagal meyakinkan pihak istana.

Tidak berapa lama selepas itu, MalaysiaNow mendedahkan butiran surat Zahid dan Najib yang menyokong Anwar untuk menggulingkan Muhyiddin.

Eksperimen politik PH

Hisommudin menambah untuk kembali kuat PH perlu berani melakukan eksperimen politik.

“Itu lebih baik dari mengekalkan strategi lama yang terbukti gagal berbanding mencuba strategi baru yang mungkin ada ruang untuk diterima.”

Jeniri Amir adalah seorang ahli akademik dan penulis prolifik dan menjurus hal ehwal politik Malaysia khususnya di Sarawak
Sementara itu, penganalisis politik dari Sarawak, Jeniri Amir berkata sukar untuk PH menggantikan muka lama sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

“Sekiranya selepas PRU15 dia (Anwar) masih gagal, pada masa itu saya fikir sudah tiba masa untuk beliau berundur dan beri ruang kepada kepimpinan baru, kerana dia sudah gagal berkali-kali. Jika gagal lagi kali ini (PRU15), beliau perlu fikir secara serius untuk berundur dan bagi laluan kepada orang baru,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jeniri turut bersetuju PKR terutamanya tidak mempunyai pemimpin pelapis, selepas berlaku krisis dalaman yang menyaksikan ramai pemimpin utama keluar parti itu.

“Pergolakan dalam PKR untuk beberapa tahun menyebabkan parti itu lemah apabila sebahagian pemimpin yang dilihat ada potensi mengambil keputusan drastik keluar daripada parti.

“Malangnya walaupun sudah berusaha bersungguh-sungguh, perpecahan dalam pembangkang menyebabkan beliau kempunan hendak jadi perdana menteri,” kata Jeniri.

Jeniri merujuk kepada kumpulan bekas menteri industri dan perdagangan antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang bertindak keluar PKR pada tahun lalu.

Sumber : Malaysianow

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo