NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persekutuan perniagaan sifatkan Bantuan BKSS 7.0 satu kelegaan besar

KUCHING: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) menyifatkan bantuan kerajaan negeri sebanyak RM10,000 kepada perniagaan aktif di Sarawak sebagai kelegaan besar kepada yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden SBF Datuk Abang Karim Tun Openg berkata, ahlinya amat berterima kasih atas bantuan kewangan sekali beri di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 itu.

“SBF memuji pengumuman ketua menteri bahawa kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan khas sekali beri sebanyak RM10,000 kepada perniagaan yang aktif di negeri, berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kami mahu mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas kemurahan hati kerajaan negeri. BKSS 7.0 ini merupakan kelegaan besar kepada perniagaan yang terjejas kewangan akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Abang Abdul Karim berkata, SBF berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mempertimbangkan permohonan komuniti perniagaan.

Ia katanya menunjukkan bahawa ketua menteri ikhlas membantu perniagaan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“BKSS 7.0 adalah hasil dan respons positif dari sesi perbincangan dimana kerajaan negeri menerima maklum balas dari persatuan perniagaan dan perdagangan pada 1 Julai,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak pada masa yang sama berharap ahli perniagaan agar dapat memanfaatkan peluang ini untuk terus maju.

Pada Rabu, kerajaan negeri melancarkan BKSS 7.0 yang bakal membelanjakan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata BKSS 7.0 untuk memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam keadaan yang sihat.

Beliau berkata di bawah BKSS 7.0 kerajaan negeri akan melaksanakan tiga langkah bagi memulihkan aktiviti perusahaan dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata negara kini telah memasuki Pelan Pemulihan Nasional (PPN), sebahagian besar perniagaan dan perusahaan akan dibuka secara perlahan-lahan dengan prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan berkata langkah pertama diambil di bawah BKSS 7.0 ialah menyediakan bantuan kewangan khas sekali beri sebanyak RM10,000 kepada perniagaan yang aktif di negeri, berdaftar dengan PERKESO setakat 31 Disember 2020."

Sumber : utusanborneo 


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo