Pendaftaran parti MUDA ditolak sekali lagi, beberapa minit sebelum pendengaran kes semakan kehakiman oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) 12 tengah hari tadi, kata Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet.
Beliau memaklumkan, rayuan berkenaan ditolak tanpa sebarang alasan diberikan.
“Barisan penaja MUDA baharu sahaja dimaklumkan melalui kiriman emel daripada RoS bahawa Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainudin) menolak rayuan MUDA untuk didaftarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 8 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 Ogos untuk mendengar permohonan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan JPPM yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.
Syed Saddiq adalah pengasas parti itu serta 12 individu lain memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 26 April lalu untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan JPPM yang masing-masing dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.
Pada 4 Feb, MUDA menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada JPPM dan Hamzah.
Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada Sept tahun lalu namun ditolak JPPM pada 6 Jan.
Mengulas lanjut, Lim berkata, pihaknya kesal dengan keputusan Menteri Dalam Negeri yang lewat memaklumkan mengenai keputusan berkenaan.
“MUDA amat kesal dengan kelewatan yang amat tidak munasabah untuk mencapai keputusan ini. MUDA telahpun memfailkan pendaftaran hampir 1 tahun lepas pada 17 Sept.
“Rayuan kepada menteri dibuat enam bulan lepas pada 4 Feb namun keputusan untuk menolak rayuan MUDA hanya dimaklumkan pada hari pendengaran kes, iaitu beberapa minit sebelum perbicaraan mahkamah bermula,” katanya.
Katanya, setiap masa MUDA memberi kerjasama penuh kepada Menteri Dalam Negeri dan JPPM mengenai segala pindaan yang perlu dilakukan dan isu berkenaan perlembagaan ataupun dokumentasi pendaftaran sudahpun dibincangkan bersama JPPM.
“‘Timing’ keputusan Menteri Dalam Negeri menunjukkan bahawa pihak berkuasa hanya ingin melengahkan pendaftaran MUDA untuk seberapa lama yang mungkin,” katanya yang akan mencabar keputusan berkenaan di mahkamah dalam masa terdekat.
“Taktik kotor kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus menjadi semak dan imbang kepada kegagalan pentadbiran yang ada pada hari ini.”
- FMT
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment