Responsive Ad Slot

Negaraku, Keluargaku


NEGARAKU, KELUARGAKU.

Saya pernah menjadi tuan rumah bagi pihak kerajaan negeri Selangor kepada perwakilan dari wilayah Catalonia, Sepanyol semasa saya merupakan Exco Kerajaan Negeri. Mungkin kerana perkara-perkara yang dibincang adalah melibatkan perancangan dan perumahan maka saya telah diarah untuk menyambut kumpulan tersebut yang sedang mengadakan lawatan ke Malaysia.

Ketika itu sedang berlaku krisis di antara kerajaan Catalonia dan kerajaan pusat di Sepanyol apabila kerajaan Catalonia telah mengadakan referendum bagi penduduk memilih sama ada mahu merdeka dari Sepanyol. Ibu negeri Catalonia adalah Barcelona di mana terdapat kelab bolasepak yang terkenal itu.

Referendum tahun 2017 itu telah dianggap haram oleh kerajaan Sepanyol dan anggota kerajaan wilayah tersebut telah ditahan dan ada yang telah melarikan diri ke luar negara. 

Di dalam pertemuan tersebut saya telah cuba bertanya tentang gerakan kemerdekaan mereka. Saya telah juga cuba mendapat reaksi mereka tentang kerajaan Sepanyol yang telah menahan pemimpin kerajaan mereka. Tetapi dalam perbincangan kami, tidak sedikit pun mereka mengecam kerajaan Sepanyol walaupun kerajaan tersebut bertindak tegas terhadap gerakan kemerdekàan mereka. Terdapat perbezaan di antara mereka tetapi mereka seolah-olah cuba menjaga nama kerajaan pusat di mata orang luar.

Ini bukan kali pertama saya melalui pengalaman seperti itu. Saya pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri di mana parti yang memerintah di peringkat negeri adalah berbeza dari di peringkat pusat. Ini bermakna kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang di peringkat pusat. Yang pertama adalah di Ontario, Kanada dan yang kedua adalah di Victoria, Australia. 

Walaupun mereka berbeza parti namun mereka tidak memburukkan kerajaan pusat. Ketika mereka bertemu dengan kami, mereka seperti mewakili negara mereka sama ada Kanada atau Australia dan bukan negeri, wilayah atau parti mereka. Mereka langsung tidak mencemarkan imej kerajaan pusat mereka.

Sikap yang ditunjukkan oleh mereka sepatutnya dimiliki oleh ahli-ahli politik kita. Mereka perlu sama-sama menonjolkan imej yang baik untuk negara dan menghadkan saingan politik di antara mereka kepada sesama mereka sahaja. Jangan melibatkan orang luar. Orang luar sudah tentu memiliki agenda mereka yang tersendiri.

Kadang-kala kita rasa cemburu dengan pencapaian negara-negara lain. Terdapat semangat patriotisme yang tinggi di kalangan mereka dan mereka sama-sama berusaha untuk kepentingan negara tanpa mengira perbezaan politik. Mungkin negara kita boleh mencapai lebih banyak kejayaan-kejayaan jika terdapat rasa percaya dan mempercayai di antara satu sama lain. Kurangkan perasaan curiga. Kurangkan permainan dan percaturan politik.

Pembangkang tidak boleh melihat semua tindakan kerajaan adalah semata-mata untuk meraih "political points" tetapi untuk kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kerajaan pula tidak boleh melihat pembangkang sebagai penghalang atau pengkhianat. Di UK, ketua pembangkang di Parlimen dikenali sebagai "Leader of Her Majesty's Most Loyal Opposition" atau "Ketua Pembangkang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Amat Setia". Gelaran rasmi ketua pembangkang di UK merupakan satu pengktirafan kepada peranan beliau. Tawaran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkasa kedudukan ketua pembangkang adalah satu langkah ke hadapan tetapi malang sekali telah ditolak oleh pembangkang.

Hanya seorang negarawan yang dapat memimpin seluruh rakyat dan mengangkat negara kita setanding dengan negara-negara lain. Terdapat perbezaan di antara negarawan dan pemimpin parti. Kalau seorang pemimpin hanya sekadar pemimpin parti maka hanya nasib parti dan ahli parti yang akan dibela. Tetapi sekiranya negara dipimpin oleh seorang negarawan maka seluruh rakyat akan dibela.

Orang politik sudah tentu ada agenda politik mereka. Mereka sudah tentu ada hasrat dan harapan untuk parti mereka. Ianya tidak salah. Walau bagaimanapun rakyat tidak berminat untuk mengetahuinya. Tinggalkannya di dalam kelambu masing-masing. Tidak penting kepada rakyat warna bas yang dinaiki selagi mana ia sampai ke destinasinya. Tidak perlu bergaduh sama ada biru atau merah kerana yang penting adalah pemandunya.

Tidak lama lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 64. Sejak bulan Mac tahun lalu kita telah melihat cubaan demi cubaan untuk menjatuhkan kerajaan. Mungkin serangan yang dihadapi oleh kerajaan Perikatan Nasional pada tempoh tersebut adalah yang paling sengit yang pernah dihadapi oleh mana-mana kerajaan sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Kepada orang luar sudah tentu ia satu kejadian yang susah untuk difahami kerana cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19 adalah yang paling serius untuk rakyat dan negara sejak kemerdekaan. Sepatutnya kita saling bina-membina dan bukan jatuh-menjatuh. Semoga konsep "Keluarga Malaysia" yang dibawa oleh Perdana Menteri yang baharu akan dapat mengubah kedua-dua belah pihak.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Perumahan Dan Masyarakat ( REACH )
23 Ogos 2021


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo