NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin ingatkan kelonggaran bukan lesen untuk abaikan SOP

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak menarik semula kemudahan yang diberikan jika dikesan berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

Beliau turut mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19, memastikan kementerian dan agensi yang bertanggungjawab mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan yang diberikan.

"Jika berlaku jangkitan COVID-19 di premis yang menikmati kemudahan kelonggaran itu, Kementerian Kesihatan akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko dan tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terbabit, selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

"Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini.

"Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan kerajaan bahawa rakyat yang sudah lengkap menerima vaksinasi dan boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa dalam komuniti kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman khas mengenai kemudahan bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap, yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, hari ini.

"Kemudahan ini bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan SOP yang ditetapkan. Kemudahan dine-in (makan di restoran) dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus COVID-19.

"Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat. Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada pada landasan yang tepat terus dilaksanakan sebaik mungkin, terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas," katanya.

- BH

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo