Responsive Ad Slot

Lakukan ‘genjatan’ politik sehingga September ini



11 OGOS: Semua pihak terutamanya pemimpin politik perlu bertenang dan mengelakkan pergelutan politik dalam situasi negara berdepan cabaran hebat wabak COVID-19.

Penganalisis politik dan pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata dalam realiti politik semasa, adalah lebih wajar jika penentuan status keabsahan dan tahap kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri diukur pada sidang Parlimen pada bulan September nanti seperti yang telah dirancang.

Justeru itu, Muhammad Fathi berkata adalah diharapkan agar semua pihak dapat bersabar bagi meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik dan kepartian.

Jelasnya, cara menentukan keabsahan dan kepercayaan terhadap Muhyiddin mestilah dibuat di Parlimen sama ada menerusi undian usul percaya atau tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

“Jadi, bagaimana menentukan seseorang Perdana Menteri telah ‘hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’? Cara pertama ialah melalui undi di Dewan Rakyat.

“Ini boleh berlaku melalui undi usul tidak percaya seperti yang pernah berlaku di Dewan Undang Negeri (DUN) Terengganu pada tahun 1961, atau usul percaya seperti yang berlaku di DUN Perak baru-baru ini. Ia juga boleh berlaku melalui pengundian lain seperti usul Belanjawan dan seumpamanya,” katanya katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi Yusof, berkata cara kedua ialah melalui penilaian yang dibuat sendiri oleh penyandang jawatan, seperti yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 23 Februari 2020.

“Cara ketiga ialah melalui penilaian yang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Penilaian Seri Paduka Baginda ini bukannya bertujuan untuk mengisytiharkan hilangnya kepercayaan Perdana Menteri atau memecat Perdana Menteri. Perlembagaan tidak menyediakan peruntukan yang memberikan fungsi-fungsi itu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Penilaian berkaitan tahap kepercayaan Perdana Menteri sedia ada perlu dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2)(a) iaitu untuk melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

“Dalam membuat penilaian ini Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil segala cara yang perlu untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. Antara cara yang boleh digunakan untuk menentukan ketepatan sesuatu maklumat ialah dengan mengadakan pertemuan dengan setiap anggota ahli-ahli Parlimen, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Sultan Perak dalam krisis politik Nizar-Zambry pada tahun 2009,” katanya.

Beliau berkata, penilaian yang dibuat perlulah menyeluruh, bukan sahaja tertumpu kepada ahli-ahli Parlimen yang membuat pengisytiharan.

“Kaedah ini perlu kerana terdapat kemungkinan perubahan sokongan seseorang atau sekumpulan ahli Parlimen mendorong kepada peralihan sokongan individu atau kumpulan ahli Parlimen yang lain.

“Tahap penilaian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan ‘kehilangan kepercayaan’ seseorang Perdana Menteri di bawah Perkara 43(4) tidak boleh disamakan dengan penentuan ‘mendapat kepercayaan’ majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata dalam urusan melantik Perdana Menteri terdapat frasa ‘pada hematnya’, yang membawa maksud penilaian kepercayaan itu dinilai mengikut hemat atau pendapat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Perkataan ‘mungkin’ dalam peruntukan itu memberikan kuasa budi bicara yang sangat luas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berkaitan tahap kepercayaan seseorang calon berdasarkan penilaian Baginda.

“Tambahan pula Perkara 40(2) menyebut bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri.

“Urusan ini berbeza dengan kaedah penentuan ‘kehilangan kepercayaan’ seseorang Perdana Menteri yang memerlukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggunakan ketelitian dan keadilan yang menyamai sifat separa kehakiman atau ‘quasi-judicial’,” katanya.

Oleh kerana tujuan utama penilaian ‘tahap hilang kepercayaan seseorang Perdana Menteri’ oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Muhammad Fathi Yusof berkata adalah untuk melaksanakan budi bicara baginda.

“Ini selari dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu, maka penilaian itu bukan sahaja ke atas ‘kehilangan kepercayaan Perdana Menteri’ sedia ada, bahkan ia perlu mencakupi soal tahap kepercayaan yang dimiliki oleh calon pengganti.

“Malah dari perspektif ini, fokus wajar diberikan kepada penilaian terhadap tahap kepercayaan calon pengganti berbanding tahap kehilangan kepercayaan Perdana Menteri sedia ada,” katanya.

Oleh yang demikian, Muhammad Fathi Yusof berkata bagi ahli Parlimen yang menghantar surat akuan bersumpah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sepatutnya mereka bukan sahaja menyatakan perakuan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri sedia ada, bahkan juga menyatakan kepada siapa mereka memberikan kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Selagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong belum mendapati mana-mana pemimpin lain memiliki sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri sedia ada, maka segala dokumen, pengumuman media atau apa sahaja bentuk perakuan berkaitan hilangnya sokongan terhadap Perdana Menteri tidak perlu diberikan perhatian. Biarlah Dewan Rakyat yang membuat keputusan berkaitan isu hilang kepercayaan itu,” katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo