NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Krisis politik : Mahu ke mana parti Warisan Sabah ?


Oleh : Sahimin Mustapah

Polemik politik negara melibatkan blok kerajaan, Perikatan Nasional (PN), blok UMNO-Zahid Hamidi dan blok pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) serta sekumpulan parti-parti kecil seperti parti Warisan Sabah (Warisan), parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mencetuskan ketidakstabilan politik negara terus memuncak. 

Disebalik desakan pembangkang yang mahukan Dewan Rakyat mengadakan persidangan untuk membincang perkara-perkara berkaitan pandemik covid-19, keadaan telah bertukar kepada gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Tidak ketinggalan ialah Presiden parti Warisan dan kumpulannya, Mohd Shafie Apdal yang nampaknya lantang mengecam tindak tanduk kerajaan PN.

Pendirian Warisan bersama kumpulannya terdiri PSB, Upko dan MUDA ialah menolak tujuh tawaran Muhyiddin untuk meredakan bahang perebutan kuasa di negara kita. Bersama-sama Shafie ialah 12 ahli Parlimen iaitu lapan ahli parlimen Warisan, dua PSB dan masing-masing seorang Upko dan MUDA. 

Dalam kenyataan tersebut, pada tahun lepas mereka telah memberi cadangan untuk menstabilkan politik melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement) namun ianya ditolak Muhyiddin.

Kumpulan Shafie menuduh Muhyiddin sombong malah telah menyalahguna undang-undang untuk kekal berkuasa termasuklah membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Sabah, Melaka, Kedah, Perak dan Johor.

Pada awal Januari tahun ini dalam program ‘Regional Outloook Forum 2021’ anjuran Institut Kaji Selidik Asia Tenggara (ISEAS), Shafie menyatakan sudah tiba masanya Politik Malaysia bergerak melangkaui politik keperibadian melibatkan tokoh-tokoh politik lama seperti Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. 

Tambahnya sebuah gerakan baharu perlu diwujudkan bagi menentang ‘orang lama’ dan elit politik dalam parti-parti politik untuk memberikan ruang kepada sesiapa sahaja bersuara serta mengembangkan potensi masing-masing. 

Beliau menyalahkan pertembungan antara Mahathir dan Anwar sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada februari tahun lepas. Malah terdapat beberapa usaha untuk memulihkan hubungan Mahathir dan Anwar namun ianya menemui kegagalan. 

'Idea Unity'

Dalam menjelaskan idea tersebut Shafie berpandangan sebuah naratif baharu Malaysia diperlukan melibatkan politik, ekonomi dan sosial. Beliau menolak politik-politik agama dan perkauman sambil meletakkan idea ‘unity’ sebagai asas kepada pembaharuan melalui demokrasi dengan sistem pentabdiran berasaskan nilai.

Idea ‘unity’ mula diperkenalkan dalam kempen pilihan raya negeri Sabah dengan slogan  ‘Pada Tuhan kita yakin, berpadu kita mesti’ dan "Kami di sini untuk membangun bangsa, bukan bangsa atau agama tertentu," dengan hashtag #SabahansUnite. 

Warisan telah menukar slogan ‘ubah’ yang digunakan dalam kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) kepada ‘unity’. Ia terjemah melalui papan iklan, gegantung dan poster yang dipasang di seluruh pelusuk negeri Sabah yang berlatarkan warna bendera Sabah dengan menampilkan grafik wajah Shafie menyerupai seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. 

Poster ‘unity’ Shafie disebar dengan meluas di media sosial seperti facebook, youtube, twitter, whatsapp dan sebagainya. Kempen Warisan cuba menampilkan Shafie sebagai pemimpin untuk semua rakyat Sabah bagi melawan kempen pesaingnya yang menuduh Shafie membawa agenda ‘sempornanisasi’ dan mesra pendatang tanpa izin (PTI). 

Dalam menjelaskan kempen ‘Unity’ tersebut, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking memberitahu “Shafie rasa kita tak boleh lihat seseorang itu berdasarkan warna kulit atau kepercayaan tetapi dengan merit yang kita ada. Merit kita adalah rakyat sudah bersatu sebelum ini, kenapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi dan kali ini dengan lebih baik antara pantai timur, pantai barat dan kawasan pedalaman Sabah,". 

Walau bagaimanapun ternyata kempen ‘unity’ gagal menawan hati rakyat Sabah apabila blok Warisan Plus tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Strategi Warisan

Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Kota Kinabalu, Shafie menyatakan partinya akan melebarkan sayapnya ke semenanjung dan bukan sekadar di Sabah semata-mata tetapi mengimpikan Warisan menjadi kuasa dalam membuat keputusan dalam pentadbiran negara. 

Mohd Shafie berucap pada majlis perasmian Persidangan Perhimpunan Agung WARISAN 2019 di Likas.
Tambahnya Warisan hendak melebarkan konsep ‘unity’, sebuah ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung. “Kalau UMNO boleh bertapak di Sabah, kalau Amanah boleh bertapak di Sabah kepada tidak Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung?”. 

Sehingga kini belum ada tanda-tanda Warisan telah membuka cawangannya di Semenanjung namun terdapat beberapa kenyataan pemimpinnya seperti Naib Presiden Dr. Jaujan Sambakong memberitahu Warisan aktif di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. 

Shafie dalam satu kenyataan memberitahu Warisan akan bekerjasama dengan parti MUDA yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Shafie percaya dalam sebuah ketamadunan manusia, perubahan banyak dibawa oleh generasi muda, maka perubahan negara ketika ini hendaklah digerakkan oleh golongan muda. 

Dalam siri kenyataan mutakhir ini MUDA diihat terlibat sama dengan Warisan, Upko dan PSB sebagai petunjuk MUDA akan menjadi rangkaian Warisan di Semenanjung.

Hala tuju Shafie dan Warisan

Dengan beberapa kronologi tersebut, kita boleh mamahami impian, ke mana hala tuju Shafie dan parti Warisan. Dengan idea ‘unity’, Shafie cuba membawa pendekatan politik melangkaui batasan kaum dan agama yang berasaskan merit kepada rakyat Malaysia. 

Realitinya idea ‘unity’ Warisan bukan suatu perkara yang baharu, ianya telah lama diketengahkan sejak zaman Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) namun gagal  mendapat sambutan rakyat ketika itu. Terdapat parti pelbagai kaum selepas itu misalnya Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan lain-lain.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan merupakan seorang ahli politik Malaysia dan pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-7. Beliau memegang jawatan ini dari April 1985 hingga Mac 1994
Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa diterajui oleh Joseph Pairin Kitingan pernah melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia dan pernah meletak beberapa orang calon dalam pilihan raya umum. Parti Upko juga pernah membuka cawangan di Semenanjung dengan memberi tumpuan kepada penyertaan orang asal namun ia sudah lama tidak kedengaran. 

Timbul persoalan, mampukah Warisan mendapat tempat di Semenanjung? Sudah tentu kayu ukurnya jumlah kerusi yang dimenangi Warisan dalam pilihan raya sebagai bukti penerimaan rakyat terhadap partinya.

Pasca perletakan jawatan Muhyiddin

Perletakan jawatan Perdana Menteri ke-8 Muhyiddin Yassin telah memberi kesempatan kepada Shafie diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-9. Sepertimana yang ditegaskan oleh Ketua Wira Warisan Mohd. Azis Jamman peluang perlu diberikan kepada ahli Parlimen Sabah (Shafie) untuk menerajui kepimpinan negara. 

YB Dato' Mohd Azis Haji Jamman adalah ahli politik Malaysia dari Ahli Parlimen bagi Sepanggar, Sabah. Beliau adalah bekas penyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau juga merupakan Ketua Wira bagi Parti Warisan Sabah. 
“Ini terutama selepas 60 tahun Malaysia dibentuk, tidak pernah dalam sejarah pemimpin dari Sabah diberi peluang menerajui negara dan pertimbangan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963,”. 

Untuk merealisasikan cita-cita Shafie, beliau memerlukan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen menyokong beliau. Ketika ini blok Shafie memiliki 12 ahli Parlimen, jika dicampur empat Ahli Parlimen Pejuang maka jumlahnya adalah 16 orang.

Shafie memerlukan sekurang-kurangnya 96 orang lagi untuk membolehkan beliau menjadi PM. Maka dari mana datangnya 96 orang itu?  Blok yang menolak Muhyiddin adalah seramai 120 orang terdiri daripada PH (89 orang), diikuti UMNO-Zahid (15), Warisan (8), Pejuang (4), Muda (1), calon bebas (2), PSB (2) dan Upko (1). 

Sehingga kini Shafie mendakwa beliau dan Anwar hanya memiliki 105 ahli Parlimen, kurang enam orang. "Ini berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi, dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan," katanya kepada Astro AWANI.

Masa sangat suntuk buat Shafie kerana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua anggota Dewan Rakyat menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan seorang calon pilihan sahaja untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang hari ini (18 Ogos). 

Di sebelah blok PN-BN mendakwa mereka telah memiliki bilangan yang mencukupi untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM ke-9. Difahamkan Ismail telah memiliki 115 orang ahli Parlimen, manakala Anwar atau Shafie memiliki 105 orang maka peluang Shafie atau Anwar semakin tipis kerana dengan baki dua orang ahli Parlimen ianya masih tidak mencukupi.

Pilihanraya Umum ke 15

Kemudian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 mampukah Warisan mengatasi  BN, PN, PH malah Pejuang? Ini kerana pada bulan april lepas Shafie memberitahu Warisan telah melepaskan ikatan permuafakatan dalam Pakatan Plus kepada Pakatan Minus. 

Ini bermakna Warisan berhak bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui. Sekiranya Warisan kembali berhasrat bekerjasama dengan PH dan Pejuang, berapa kerusi yang bakal ditandingi oleh Warisan di Semenanjung sedangkan PKR, DAP dan Amanah telah pun mempunyai susunan agihan kerusi berdasarkan prestasi dalam PRU-14? 

Jika Warisan, Upko dan PSB mampu menguasai parlimen di Sabah dan Sarawak, kemudian MUDA mampu memenangi sebahagian kerusi di Semenanjung blok Shafie boleh menjadi kuasa tawar-menawar dalam meletakkan parti itu dalam arus politik negara. 

Selepas pilihan raya umum 2008, Sabah dan Sarawak menjadi ‘king maker’ kepada mana-mana kerajaan Persekutuan. Misalnya PRU-12 dan PRU-13 BN Sabah dan BN Sarawak menjadi penyelamat kerajaan UMNO-BN. Begitulah juga dalam PRU-14, Warisan, PKR dan DAP Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang kepada tertubuhnya kerajaan PH. 

Sebaliknya sekiranya Warisan gagal menyerlah sepertimana yang berlaku dalam PRN Sabah 2020, masa depan Warisan akan menjadi samar-samar dan tidak menentu. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

_____________________________________________________
Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di Kota Kinabalu Sabah

Sumber asal |  kicaiping


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo