NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu tangguh pemilihan parti: Umno jawab JPPM Isnin depan


Umno akan mengemukakan surat jawapan balas kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) Isnin depan, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Ia susulan JPPM memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, sebagai tidak sah.

Memetik laporan Berita Harian, Ahmad berkata, peguam Umno berpandangan tiada kekhilafan berlaku di pihak parti itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPPM, Jasri Kasim dilaporkan berkata, keputusan MKT Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana dibuat selepas tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Jasri meminta Umno membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan, dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada jabatan itu dalam tempoh terdekat.

Ahmad turut memuat naik kronologi proses penangguhan pemilihan Umno serta pemakluman kepada JPPM.

Berdasarkan kronologi itu, MKT Umno mula memutuskan penangguhan pemilihan parti tahun ini pada 19 Feb lalu, sebelum merujuknya kepada JPPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara 27 April dan 24 Mei.

Pada 18 Jun lalu, 52 daripada 56 ahli MKT Umno secara resolusi edaran bersetuju menangguhkan pemilihan parti kerana tidak pernah melaksanakannya secara maya.

Susulan itu, Ahmad menghantar surat memaklumkan keputusan MKT itu kepada JPPM pada 24 Jun, enam hari sebelum tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 berakhir.

Pada 7 Julai, MKT mengabsahkan penangguhan pemilihan parti yang diputuskan pada 18 Jun lalu, sebelum Umno menerima surat Ketua Pengarah JPPM pada 19 Julai, memaklumkan jabatan itu tiada halangan mengenai penangguhan berkenaan mengikut Perkara 10.16 Perlembagaan Umno.

“Moga rentetan peristiwa yang saya sertakan ini dapat memberi maklumat yang jelas mengenai isu pemilihan Umno,” kata Ahmad di Twitter.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo